vroom

Dua model baharu Vespa

Oleh Lizam Ridzuan

MELALUI pengedar rasmi jenama Vespa di negara ini Didi Resources Sdn Bhd, dua model baharu diperkenalkan ke dalam pasaran tempatan iaitu Vespa Primavera S Special Edition 150 dan Vespa Sprint S 150.

Masih mengekalkan DNA sport yang sama, model edisi 2020 ini ditambahbaik dengan kemasan yang lebih menyerlah sesuai buat mereka yang mahukan gaya dan keunikan.

Pengerusinya Rewi Hamid Bugo berkata selain pengenalan model terkini mereka juga menawarkan harga alat ganti dan aksesori lebih rendah.

"Sebagai menghargai pelanggan setia jenama ini perkhidmatan selepas jualan ditambahbaik bagi melengkapi pengalaman pemilikan yang lebih baik untuk Vespa sebagai mobiliti gaya hidup urban dan premium," katanya.

Vespa Primavera S Special Edition 150 adalah model paling bergaya dengan karakter lebih menyerlah seperti kemasan kelabu gelap pada beberapa bahagian seperti, rim, penutup dan pelindung hadapan serta bingkai lampu.

Ia juga didatangkan dengan rim 12 inci daripada aloi dengan corak lima jejari serta lampu hadapan dan lampu nyalaan siang (DRL) LED.

Primavera S dilengkapi enjin empat lejang silinder tunggal 150cc iGet sejukan udara suntikan elektronik yang menawarkan penggunaan bahan api lebih efisien.

Untuk model Sprint S 150 pula menampilkan gaya lebih muda dan sporty dengan penawaran kombinasi tiga warna iaitu kuning, hitam dan putih serta kelabu.

Kerangka keluli kukuh dan perekat sporty merah berkilat, lampu hadapan dan belakang LED, pelana baru lebih elegan dan sporty juga antara tarikan.

Juga dibekalkan enjin yang sama dengan Primavera untuk lebih ciri mesra alam dan tahan lasak dalam menempuh kesesakan bandar.

Kedua-dua model menerima sistem Brek Anti-Kunci (ABS) hadapan satu saluran antara pembaharuan yang diberi.

Sehingga 30 Jun ini ditawarkan aksesori bernilai RM700 secara percuma dengan membuat tempahan dengan fi RM60 di laman web beli-belah atas talian, Lazada.

Untuk pasaran Malaysia Vespa Primavera S Special Edition ditawarkan dengan warna oren dan kelabu dijual pada harga bermula daripada RM18,300 dan Vespa Sprint S 150 pada harga daripada RM16,900.

Disiarkan pada: June 5, 2020 @ 9:02am
d