vroom

Stabil dan mantap

Oleh Lizam Ridzuan

PENGENDALIAN mantap dan memberikan kestabilan terbaik ketika melewati selekoh adalah ciri utama untuk tayar Bridgestone Potenza Adrenalin RE004 Serba Baharu yang dilancarkan baru-baru ini ke pasaran tempatan.

Menggantikan model terdahulu RE003, ia dihasilkan melalui pembangunan dan teknologi tayar termaju.

Ia juga tayar daripada segmen premium 'street sports' untuk prestasi terbaik pada sebarang cuaca sama ada kering atau basah.

Memenuhi piawaian ECE R11702 yang ditetapkan 'United Nations Economic Commission for Europe' (UNECE), ia merangkumi ciri emisi bunyi, geseran putaran dan prestasi ketika jalan basah.

Kombinasi itu juga meningkatkan keteguhan tayar melalui tiga dan separuh alur pada tayar untuk tindak balas segera ketika membrek atau di selekoh.

Selain itu, pada kelajuan tinggi, ia juga menawarkan kestabilan lebih baik dengan blok penghubung yang mengurangkan pergerakan berlebihan.

Corak 'A' pada bunga tayar yang agresif dan dinamik menampilkan rekaan lebih bergaya serta sporty untuk dipadankan dengan rim aloi pada kenderaan.

Teknologi dan inovasi permukaan tayar Bridgestone melalui bahagian tetulang dalam yang lebar menjadikan Potenza Adrenalin RE004 menyentuh secara maksimum pada jalan raya untuk kelancaran prestasi yang berterusan.

Melalui ciri formulasi silika yang diketengahkan, ia juga meningkatkan prestasi pada pelbagai cuaca dan pada masa sama menjadikan geseran tayar rendah seterusnya mengurangkan kesan jejak kepada alam sekitar.

Antara ujian dilakukan pada tayar ini di litar ujian Bridgestone di Thailand ialah membrek di jalan kering pada kelajuan 100 kilometer/sejam (km/j) dan jalan basah pada kelajuan 80 km/j.

Ia menggunakan model Honda Civic 1.5 turbo dengan rim aloi 18 inci berserta tekanan angin 220/220 kpa.

Sesuai untuk kenderaan penumpang, model tayar ini menawarkan 17 saiz tayar daripada 15 sehingga 17 inci yang sudah pun berada dalam pasaran pada pertengahan Mei lalu.

Disiarkan pada: June 7, 2020 @ 6:30am
d