vroom

Honda panggil balik 55,354 kenderaan

Oleh Lizam Ridzuan

HONDA Malaysia memanggil balik 55,354 unit kenderaan untuk penggantian pam bahan api selaras dengan langkah pasaran Honda global.

Kenderaan yang perlu melakukan penggantian itu membabitkan model dari 2018 iaitu Accord, BR-V, Civic, HR-V dan HR-V Hybrid.

Untuk model 2019 antara yang terlibat ialah City Hybrid, Jazz dan Jazz Hybrid serta Model CR-V untuk tahun pembuatan 2018 dan 2019.

Menurut kenyataan Honda Malaysia hari ini, tiada sebarang insiden membabitkan alatan itu dilaporkan di negara ini.

Namun sebagai langkah pencegahan ia perlu diganti bagi mengelakkan kemungkinan kenderaan kehilangan kuasa enjin atau terhenti.

Honda juga memohon maaf atas kesulitan yang timbul dan menyatakan model Honda keluaran tahun 2020 tidak terlibat dengan penarikan semula produk tersebut.

Semua pelanggan yang terjejas akan dimaklumkan menerusi surat pemberitahuan dan digesa untuk menghubungi mana-mana pengedar sah untuk urusan temu janji.

Proses penggantian adalah percuma dan ditanggung sepenuhnya oleh pihak Honda Malaysia.

Disiarkan pada: June 18, 2020 @ 3:33pm
d