vroom

Pilihan berbaloi

Oleh Lizam Ridzuan

PELBAGAI tawaran menarik mula diperkenalkan oleh pengeluar kenderaan bersempena pengumuman Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) oleh kerajaan.

Tidak terkecuali Edaran Tan Chong Motor (ETCM) sebagai pengedar utama kenderaan Nissan di negara ini.

Menerusi insentif itu, semua kenderaan penumpang pemasangan tempatan (CKD) mendapat pelepasan cukai jualan sepenuhnya dan untuk model import sepenuhnya (CBU) sebanyak 50 peratus diberikan.

Bermula 15 Jun lalu sehingga 31 Disember depan, semua model Nissan mendapat pengurangan harga antara RM2,437 sehingga RM7,625 dengan penurunan sekitar 1.5 hingga enam peratus ditawarkan kepada pengguna.

Selain pengecualian cukai jualan, ETCM juga menawarkan rebat tambahan 'ReMarkable Car Offers' (RMCO) daripada RM6,000 hingga RM18,000 buat tempahan dan pendaftaran yang dilakukan pada Jun ini.

Buat pelanggan yang membeli Nissan Serena S-Hybrid atau X-Trail sehingga hujung bulan ini, mereka akan menerima pelan perlindungan FWD Protect Direct Family Takaful selama setahun (sehingga empat ahli keluarga terdiri daripada ibu bapa dan dua anak dengan premium berjumlah RM100,000).

Sebagai tambahan, 20 pemenang bertuah juga berpeluang memenangi peralatan kesihatan rumah Cuckoo bernilai RM128,888 menerusi peraduan beli dan menang Nissan sehingga 30 Jun ini.

Untuk model trak pikap Navara, meskipun tiada pengurangan harga, ETCM menawarkan rebat RMCO daripada RM12,000 hingga RM18,000 dengan harga bermula RM91,888 hingga RM111,888.

Semua model didatangkan dengan jaminan pengeluar selama tiga tahun atau 100,000 kilometer (km) yang mana lebih dahulu dan harga adalah atas jalan tanpa insurans.

Disiarkan pada: June 28, 2020 @ 6:30am
d