vroom

Terhad 25 unit sahaja

Oleh Lizam Ridzuan

Bermaz Motor sebagai pengedar rasmi kenderaan Mazda negara ini memperkenalkan model CX-3 Edisi Terhad sebanyak 25 unit sahaja ke dalam pasaran tempatan sempena ulangtahun ke-100 jenama itu di seluruh dunia.

Dibangunkan oleh bahagian MazdaSports syarikat itu melalui tambahan pakej penggayaan yang unik dan sporty, ia kini tampil rekaan aksesori dengan ciri tersendiri.

Pada bahagian luaran CX-3 Edisi Terhad ini dipadankan dengan warna dua tona dengan hitam piano pada bumbung serta spoiler belakang dan rim aloi 18 inci.

Ia juga menerima lapisan bawah pada bahagian bampar hadapan dan belakang dengan 'difuser' serta ekzos berkembar kemasan aluminium.

Ruang dalaman disertakan kerusi rekaan khas ulangtahun ke-100 Mazda, roda stereng dan tombol gear dengan warna kelabu yang dipadankan untuk papan pemuka dan kemasan pintu serta pedal sport dan pelapik karpet khas untuk penampilan lebih premium.

Sistem hiburan dan bunyi pula dengan JBL Basspro Hub dengan 'subwoofer' 11 inci talaan kawalan jauh dan untuk prestasi pengendalian terbaik ia dipasangkan dengan topang pendakap atas dan bawah enjin, serta palang casis tengah belakang.

Untuk enjin ia masih kekal dengan 2.0L 2WD Skyactiv-G serta kotak gear enam kelajuan automatik dan mod manual.

Mazda CX-3 Edisi Terhad kini dibuka untuk tempahan pada harga RM126,829 (atas jalan tanpa insurans) dengan tambahan RM14,500 (pakej edisi terhad) dan akan mula dipasarkan penghujung Julai 2020 dengan satu piihan warna iaitu Snowflake White Pearl.

Disiarkan pada: June 29, 2020 @ 3:04pm
d