vroom

Ciri wira angkasa

Oleh Lizam Ridzuan

KISAH sejarah penerbangan 100 tahun lalu yang dilakukan oleh Kapten John Alcock dan Leftenan Arthur Brown merentasi Lautan Atlantik dari Kanada ke Ireland diabadikan dalam model ini.

Hanya 50 unit model Rolls-Royce Wraith Eagle VIII dihasilkan untuk pasaran dunia.

Bagi pasaran tempatan, ia dibawa oleh Rolls-Royce Motor Cars Kuala Lumpur.

Model ini yang mengambil nama enjin kapal terbang pengebom era Perang Dunia Pertama, Vickers Vimy, ia dikuasakan melalui 20.3 liter V12 dengan kuasa kuda 350hp.

Bagi bahagian luaran, antara yang tampil unik ialah pilihan warna digunakan iaitu 'Gunmetal' dan pada bahagian atasnya, kelabu Selby yang dipisahkan kemasan tembaga 'Brass Coachline' dengan perincian halus.

Gril hadapan direka seakan-akan penutup enjin pesawat manakala bahagian rim dikilatkan bagi memberi bayangan lutsinar.

Paling mencuri tumpuan ialah kemasan dalaman, ia bukan saja unik malah boleh dikatakan sebagai kesinambungan luaran yang dibawa ke dalam.

Kerusi kulit kelabu Selby dan hitam dengan sulaman kuning Brass tembaga pula dihasilkan sebegitu sebagai merujuk kepada alat navigasi pesawat ketika penerbangan.

Monogram 'RR' pada perehat kepala turut disulam dengan benang kekuningan, termasuk pada pada panel pintu dengan ukiran petikan kata-kata Sir Winston Churchill yang memuji pencapaian luar biasa kedua-dua wira berkenaan.

Terinspirasi dengan keberanian dua wira angkasa itu yang melakukan penerbangan malam, hiasan seakan-akan pemandangan dari atas ditawarkan pada papan pemuka yang diperbuat daripada kayu 'Smoked Eucalyptus'.

Jam seakan-akan barangan kemas pada setiap model Rolls-Royce dicipta dengan rekaan berlatarbelakangkan kesan ais dan kilauan hijau.

Malah jarum merah juga koordinat lokasi pendaratan terdapat pada atasnya.

Paling mengujakan ialah kemasan siling 'Starlight Headliner' dengan 1,183 serat cahaya bintang. Ia menunjukkan suasana cakerawala seolah-olah itulah yang dapat dilihat pada saat penerbangan 1919 itu.

Untuk pasaran Malaysia, Rolls-Royce Wraith Eagle VIII dikuasakan dengan enjin 6.6 liter V12 ini dijual pada harga RM3.3 juta dan seunit sudah pun terjual

Disiarkan pada: August 23, 2020 @ 7:00am
d