vroom

Bercuti dan menang

Oleh Lizam Ridzuan

BOUSTEAD Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) melancarkan peraduan Cuti-Cuti Malaysia Bersama BHPetrol sehingga 26 Oktober ini bagi menggalakkan lagi perkembangan industri pelancongan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Leslie Ng berkata, seiring dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-63, peraduan ini dilancarkan hasil kerjasama dengan Tourism Malaysia.

"Selain bercuti, peraduan juga bertujuan meningkatkan minat dan pengetahuan berkaitan jenama BHPetrol kepada orang ramai, terutama bagi isian bahan api ke destinasi yang dituju.

"Malah orang ramai juga boleh singgah di lebih 400 kedai di stesen minyak kami di seluruh negara untuk pengalaman perjalanan lebih menarik," katanya pada majlis pelancaran.

Turut hadir, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof.

Hadiah utama ialah pakej percutian dengan penginapan tiga hari dua malam di rangkaian Hotel Royal Chulan terpilih, termasuk wang perbelanjaan dan baucar tunai bernilai RM4,000 setiap satu untuk 30 pemenang.

Hadiah sagu hati ialah 10,000 mata ganjaran ePoints dan baucar tunai BHPetrol bernilai RM1,100 setiap satu, juga kepada 30 pemenang.

Selain itu, 30 hadiah mingguan juga menunggu pemenang iaitu penginapan percuma dua hari satu malam di rangkaian hotel sama.

"Ahli eCard hanya perlu membelanjakan RM30 untuk bahan api atau membeli barangan runcit di mana-mana stesen BHPetrol sebelum layak secara automatik menyertai peraduan ini," katanya.

Buat masa ini, ada lebih 1.4 juta pengguna eCard fizikal BHPetrol di seluruh negara dan mereka mendapat satu peluang untuk menyertai peraduan ini.

"Bagi yang berdaftar dengan aplikasi dalam talian, mereka berpeluang memperoleh tiga peluang penyertaan," katanya.

Disiarkan pada: August 30, 2020 @ 6:12am
d