vroom

Ranggi dan sporty

Oleh Lizam Ridzuan

BUKAN lagi rahsia Toyota Vios Baharu yang dipertingkatkan bakal dilancarkan tidak lama lagi dengan beberapa ciri kemasan dan keselamatan yang ditambah baik.

Melalui siaran media yang dikeluarkan oleh UMW Toyota Motor (UMWT) sebagai pengedar utama kenderaan Toyota baru-baru ini, ia juga didatangkan dengan ciri lebih atletik dan menyerlah.

Sedan segmen-B ini diperkenalkan ke pasaran tempatan pada 2003 dan kini sudah memasuki generasi ketiga.

Edisi terbaharunya menerima sentuhan wajah depan dengan bampar berbeza.

Ini disertakan dengan rekaan gril yang lebih segar, kit aero dengan lip depan serta lampu hadapan LED triple bezel dan lampu nyalaan siang (DRL).

Lampu utama dengan fungsi 'follow-me-home' kini ditawarkan sebagai ciri standard kepada semua varian iaitu J, E dan G.

Wajah baru Vios ini juga menjadikan ia mirip kepada model lain seperti Corolla, Camry dan Yaris terkini khusus untuk pelanggan yang mempunyai pelbagai latar belakang.

Ia juga model pertama dalam segmennya yang dianugerahkan penarafan lima bintang untuk Program Penilaian Kereta Baharu (NCAP) Asean dan kini dengan Toyota Safet Sense (TSS) melalui ciri Amaran Pra-Perlanggaran (PCS) serta Amaran Melepasi Lorong (LDA).

Fungsi PCS ini bermula pada kelajuan 15 kilometer/sejam (km/j) yang mengurangkan risiko perlanggaran kereta hadapan.

Ciri LDA diaktifkan bermula daripada kelajuan 50km/j ke atas dan ia akan memaklumkan pemandu sekiranya pertukaran lorong tidak disengajakan pada paparan Multi-Info serta bunyi beep yang boleh dinyahaktifkan.

Semua ini adalah tambahan kepada ciri sedia ada seperti yang terdapat pada model sebelum ini seperti kawalan kestabilan kenderaan (VSC), kawalan cengkaman (TRC), Kawalan Bantuan Mula

Mendaki (HAC), peninjau titik buta dengan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) dan perakam video digital depan dan belakang (DVR).

Vios juga satu-satunya kereta dalam segmennya yang dilengkapi dengan tujuh beg udara SRS yang kini dipasang peninjau pandangan panorama 360-darjah 3D.

Selain itu, untuk infotainmen, ia turut menerima skrin tujuh inci ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto serta Varian G dan E ditawarkan dengan sistem telematik.

Toyota Vios ini dijangka mengekalkan enjin 1.5 liter DOHC Dwi Injap Pemasaan Boleh Ubah Pintar (Dual-VVT-i) yang menjana kuasa 107 Ps pada 6,000 rpm dan tork 140 Nm pada 4,200 rpm.

Dua pilihan warna baru iaitu Orange Metallic dan Platinum White Pearl selain warna sedia ada seperti Dark Blue Metallic, Red Mica Metallic serta Silver Metallic.

Tempahan sudah dibuka secara atas talian atau di semua ruang pameran sah Toyota di seluruh negara.

Ia dijual pada anggaran harga RM75,701 (J), RM85,674 dan RM89,232 (G) (semua harga atas jalan tanpa insurans).

Disiarkan pada: November 29, 2020 @ 6:12am
d