vroom

Elemen gaya premium [METROTV]

Oleh Lizam Ridzuan

MODEL kedua kenderaan utiliti sukan (SUV) keluaran Proton ini paling dinantikan ramai untuk 2020 selepas ia tular di laman sosial sejak awal tahun.

Pelbagai spekulasi berkaitan spesifikasi dan harganya berlegar di laman sosial.

Akhirnya, pada November lalu, Proton X50 secara rasmi dilancarkan ke pasaran tempatan dan Vroom berpeluang melakukan pandu ujinya baru-baru ini.

Apa yang menjadikan model ini sangat popular? Pada pandangan penulis, selain jenama nasional, trend permintaan pasaran SUV kini semakin meningkat menjadikan semua pengeluar kenderaan perlu menyediakan segmen ini untuk penguasaan pasaran dan ia juga hadir dengan pakej menarik.

Untuk pasaran Malaysia, empat varian ditawarkan iaitu 1.5T Standard, 1.5T Excecutive, 1.5T Premium dan tertinggi, 1.5TGDi Flagship seperti unit pandu uji ini.

Melihat kepada rekaan luaran, jika dibandingkan dalam pesaingnya dalam segmen-B yang lain, X50 sememangnya menyerlah dan tidak keterlaluan jika penulis katakan paling sporty.

Pada 'wajah' hadapannya, bagi memudahkan membezakan ia dengan Proton X70, terdapat garisan merah pada gril bercorak 'Infinite Weave' dengan eleman krom.

Selain itu, lampu kabus LED yang menyala sendiri ketika membelok turut disertakan bagi dua varian teratas.

Untuk elemen aerodinamik, bahagian sisinya dilengkapi corong aliran angin.

Pada bahagian bawah, 'splitter' berkembar bercorak gentian karbon menyerlahkan rekaan SUV ini.

X50 ini turut dipadankan dengan rim aloi 18 inci dan ekzos 'quad' berkembar empat serta 'difusser' pada bahagian belakang.

Sebagai varian tertinggi, ia didatangkan dengan dua tona pada bumbung hitam dan cermin sisi serta rel untuk dua varian teratas.

'Spoiler' atas pada pintu but juga melengkapi elemen dinamik pada keseluruhan rekaan ditambah dengan pintu kuasa elektrik melalui pakej aksesori asli Proton bernilai RM3,300 (yang disertakan dengan pelapik kaki, pelindung matahari dan smart tag binaan dalam) untuk memudahkan urusan membuka dan menutupnya.

Menjengah ke ruang kabin, SUV ini tambah menarik kerana dipenuhi elemen premium dan ciri teknologi termaju untuk kemudahan pemandu serta penumpang.

Melihat kepada papan pemuka untuk dua varian teratas, ia dilengkapi kemasan dua tona merah dan krom berkualiti serta unit Infotainment Head 'terapung' bersaiz 10.25 inci.

Ia adalah paparan umpama telefon pintar di dalam SUV ini.

Ia juga menjadi platform fungsi dan ketersambungan melalui Sistem Maklumat Kokpit Bersepadu (GKUI).

GKUI ini terdiri daripada fungsi radio, navigasi, kamera 360 darjah, ketersambungan telefon pintar, pemain muzik atas talian, cuaca, wifi, 4G dan sistem arahan suara 'Hi Proton'.

Penulis menggemari rekaan roda stereng 'flat bottom' yang tampil sporty dengan pelbagai fungsi dan pasti menarik jika dilengkapi dengan 'paddle shifter'.

Pada konsol tengah, terdapat tuil gear, butang fungsi mod pemanduan, Bantu Mula Bukit, brek parkir dengan Auto Brake Hold serta perehat tangan dengan ruang simpanan.

Konsol ini juga didatangkan dengan konsep 'terapung' disertakan ruang kecil untuk meletakkan telefon bimbit seterusnya memudahkan pemandu.

Juga terdapat tiga pengecas USB iaitu satu di hadapan dan dua pada bahagian belakang yang terletak di atas corong penyaman udara penumpang.

Kombinasi meter digital LCD penuh dengan paparan warna bertukar mengikut mod pemanduan adalah elemen berteknologi tinggi yang kebiasaannya melengkapi kenderaan premium buatan negara Eropah.

Kerusi balutan kulit hitam dan merah Leatherette selain larasan elektrik untuk pemandu bukan sahaja selesa malah reka bentuk sporty.

Buat penumpang belakang juga selesa dengan tempat duduk dan ruang kepala yang baik, namun lebih sesuai untuk dua orang bagi keselesaan optimum.

Untuk varian 1.5TGDi Flagship ini, ia didatangkan dengan bumbung panorama bagi lebih pencahayaan dan menambah elemen kemewahan.

SUV ini dikuasakan dengan enjin 1,477cc tiga silinder DOHC pengecas turbo suntikan terus.

Ia menjana 177PS pada 5,550 rpm dan tork 255Nm pada 1,500 hingga 4,000rpm.

Ia berbeza dengan tiga varian di bawahnya dengan kuasa 150PS serta tork 226Nm melalui enjin turbo suntikan 'multipoint'.

Namun semua varian didatangkan dengan kotak gear transmisi dwiklac (DCT) tujuh kelajuan automatik dengan mod manual yang memberikan kelancaran pengagihan tenaganya.

Terdapat tiga mod pemanduan iaitu Normal, Eco dan Sport (juga larasan pada roda stereng) bagi memberikan pemandu sama ada ciri prestasi atau penjimatan.

Penulis memandunya di lebuh raya dan laluan bandar, ternyata ia memberikan elemen responsif setiap kali pedal ditekan malah stabil pada kelajuan tinggi.

Melalui suspensi hadapan MacPherson dan belakang dengan Torsion Beam, ia menawarkan pemanduan cukup selesa yang ditala semula oleh jurutera Proton bagi disesuaikan untuk keadaan pemanduan di negara ini.

Cuma kesan talaan itu mungkin menyebabkan SUV ini sedikit beroleng ketika mengambil selekoh, namun tidak begitu ketara.

Melalui Sistem Bantu Pemandu Termaju (ADAS) tahap 2.0, ia paling sesuai dicuba ketika mengharungi kesesakan jalan raya melalui Kawalan Pelayaran Pintar (ICC) selain Kawalan Pelayaran Adiptif (ACC) dengan fungsi berhenti dan gerak.

Ia membolehkan kenderaan ini dikawal secara semi autonomi dan sekali sekala roda stereng perlu disentuh menerusi amaran pada meter dan selebihnya kenderaan ini akan mengawal pergerakannya sendiri yang dibantu dengan fungsi lain seperti Bantu Kekal Lorong (LKA) dan Amaran Keluar Lorong (LDW).

Tanpa perlu menekan pedal minyak atau brek dan memegang roda stereng, X50 akan bergerak mengikut kelajuan yang ditentukan sendiri oleh pemandu, namun melalui pengalaman penulis semua itu berfungsi baik kecuali ada ketika LKA hilang 'arah' lalu melewati ke lorong lain.

Secara keseluruhan, Proton X50 sebagai SUV kompak bukan saja mengangkat kembali jenama Proton malah pasaran kenderaan segmen itu di negara ini.

Proton X50 turut didatangkan dengan ciri limpahan teknologi dan ciri keselamatan terbaik seperti enam beg keselamatan SRS, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) serta Bantu Brek (BA).

Bantu Parkir Automatik (APA) juga memudahkan mereka yang berdepan masalah untuk memarkir kenderaan.

ADAS tahap 2.0, Sistem Maklumat Titik Buta, Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) dan kamera 360 darjah antara kemudahan yang dilengkapi bagi keselesaan dan keselamatan pengguna.

Model ini juga menerima tahap keselamatan lima bintang melalui Program Penilaian Kereta Baharu Asian (Asean NCAP) dan menerima penarafan kenderaan cekap tenaga (EEV).

Melalui aplikasi Proton Link, ia menghubungkan kenderaan melalui telefon pintar yang boleh digunakan untuk menghidupkan enjin malah maklumat berkaitan kenderaan itu boleh dipantau menerusinya.

Untuk kesegaran dan kesihatan, ruang dalaman X50 dipasangkan dengan penapis udara N95 untuk udara lebih bersih.

But dengan penutup boleh tanggal berkapasiti 330 liter bukanlah terbesar dalam segmennya, namun ia masih sesuai untuk memuatkan beg dan barangan keperluan.

Dengan tangki penuh 45 liter petrol, Proton X50 mencatatkan penggunaan sekitar 11.2 liter untuk 100 kilometer (km) dan mampu mencapai 350km, namun bergantung pada faktor bebanan dan geografi.

Enam pilihan warna ditawarkan iaitu Putih Snow, Perak Armour, Kelabu Jet, Biru Ocean, Oren Citric dan Merah Passion (seperti unit pandu uji).

Untuk pasaran Malaysia ia dijual pada harga bermula RM79,200 (1.5T Standard), RM84,800 (1.5T Executive), RM93,200 (1.5T Premium) dan RM103,300 (1.5 TGDi Flagship). Semua harga atas jalan tanpa insurans dengan pengecualian cukai jualan sehingga 31 Disember 2020.

Ia turut didatangkan dengan jaminan pengeluar lima tahun tanpa had perbatuan, pakej data
1GB sebulan untuk lima tahun dan tiga kali servis dengan kos buruh percuma.

Disiarkan pada: December 27, 2020 @ 7:00am
d