vroom

Perodua Ativa sedia untuk dipinang

Oleh Lizam Ridzuan

Kuala Lumpur: Sejak tahun lalu, nama model terbaharu keluaran Perodua menjadi teki-teka dan akhirnya ia diumumkan secara rasmi sebagai Perodua Ativa pada pelancarannya malam ini.

Nama Ativa yang bermaksud 'aktif' dalam Bahasa Portugis itu dipilih kerana bersesuaian dengan gaya hidup aktif di bandar.

Jika pengumuman sebelum ini menyatakan harga tentatifnya adalah antara RM62,500 hingga RM73,400, ia bagaimanapun secara rasmi dikurangkan kepada RM61,500 hingga RM72,000.

Perodua Ativa ditawarkan dengan tiga varian iaitu X yang dijual pada harga bermula RM61,500, manakala varian H (bermula RM66,100) dan AV (RM71,200).

Ativa adalah kenderaan pengecas turbo pertama Perodua dan model pertama pengeluar itu yang menggunakan Transmisi Boleh Laras Berterusan (CVT).

Ia juga menjadi model pertama Perodua yang memenuhi standard Pemanduan Autonomi Tahap 2, selain menjadi kenderaan paling mampu milik di Malaysia yang memenuhi standard berkenaan.

Semua teknologi ini menyumbang kepada kecekapan bahan api sehingga 18.9 kilometer per liter (km/l), sekali gus menjadikannya Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) kelima Perodua.

Lebih menarik, banyak teknologi terkini diterapkan dalam model SUV kompak yang dinanti-nantikan pasaran automotif tempatan itu.

Antaranya adalah Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) 3.0 membuat kemunculan pertamanya pada Perodua Ativa, dan teknologi itu terdapat pada semua varian buat julung kali.

ASA 3.0 berfungsi pada kelajuan yang lebih tinggi sehingga 120 kilometer sejam (km/j) untuk kenderaan dan sehingga 60 km/j untuk pejalan kaki, berbanding sistem ASA 2.0 semasa, selain ia kini boleh mengesan kenderaan beroda dua serta berfungsi pada waktu malam.

Pada semua varian juga terdapat enam beg udara, lampu hadapan LED automatik dengan Auto High Beam dan Lane Departure Warning and Prevention.

Varian H dan AV didatangkan dengan Adaptive Driving Beam, paparan pelbagai maklumat info TFT tujuh-inci dan sistem infotainmen skrin sesentuh sembilan-inci dengan voice recognition.

Untuk varian tertinggi iaitu AV, ia secara eksklusif mempunyai Lane Keep Control, Blind Spot Monitor, Rear Cross Traffic Alert dan Adaptive Cruise Control.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, 95 peratus komponen adalah kandungan tempatan membolehkannya ditawarkan pada harga berpatutan.

"Kandungan tempatan ini menjadi kadar permulaan tertinggi bagi mana-mana model Perodua. Malah, enjin dan transmisinya juga dihasilkan di Malaysia," katanya.

Katanya, sehingga kini Perodua sudah menerima kira-kira 5,000 tempahan bagi Perodua Ativa sejak ia dibuka untuk tempahan pada 19 Februari lalu.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia di atas sokongan mereka. Penghantaran akan bermula esok dan kami mensasarkan untuk menjual sebanyak 3,000 unit sebulan secara purata," katanya.

Perodua Ativa dilancarkan secara rasmi oleh Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin menerusi premiere digital yang bermula pada 8 malam tadi.

Zainal Abidin berkata, Perodua Ativa adalah hasil kerjasama pintar pertama antara Perodua dan rakan teknikal dan teknologinya, Daihatsu.

"Perodua Ativa dibina atas platform global kerana Perodua dan Daihatsu telah berjaya menyatukan sumber yang mampu menghasilkan model paling berdaya saing," katanya.

Beliau berkata, pengenalan Perodua Ativa amat penting kerana ia membawa kerjasama antara Perodua dan Daihatsu ke tahap baharu, membolehkan pengeluar kereta nasional itu dan pembekalnya berkongsi komponen serta proses untuk memaksimumkan kecekapan kos.

"Semua ini dilakukan tanpa mengetepikan reka bentuk, ciri dan citarasa Malaysia yang unik. Pembabitan kami dalam pembangunan Ativa bermula dari papan lukisan dengan 54 pereka dan jurutera kami bekerjasama dengan Daihatsu sejak 2018.

"Kerjasama erat ini membolehkan kami membabitkan ekosistem automotif Malaysia dalam pembangunan model ini dan pembekal kami berjaya mengatasi cabaran dan mampu mengurangkan kos mereka," katanya.

Pengeluar kenderaan itu menjangkakan perbelanjaan sebanyak RM6.5 bilion untuk membeli komponen daripada pembekal tempatan tahun ini.

"Kami menjemput seluruh rakyat Malaysia untuk mengunjungi mana-mana pusat jualan kami di seluruh negara untuk melihat, merasai dan memandu uji Perodua Ativa sebelum pengecualian cukai jualan kerajaan berakhir pada 30 Jun nanti," katanya.

Disiarkan pada: March 3, 2021 @ 8:25pm
d