vroom

Aktif setiap destinasi

Oleh Lizam Ridzuan

PERODUA Ativa yang juga model serba baharu ditawarkan oleh Perusahaan Otomobil Kedua (Perodua) menampilkan kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak cukup bergaya.

Ativa yang bermaksud 'aktif' dalam bahasa Portugis itu dipilih bagi disesuaikan dengan gaya hidup aktif bandar dan kembara yang ditawarkan menerusi tiga varian iaitu X, H dan AV (tertinggi).

Antara ciri terkini ialah dengan lampu utama adiptif LED, lampu belakang kombinasi LED dan rim aloi 17 inci.

Selain itu, untuk ruang dalaman, ia dilengkapi sistem infotainmen 'terapung' bersaiz 9 inci dan untuk pemandu, paparan info pelbagai TFT bersaiz 7 inci disediakan.

Kabin yang fleksibel juga antara kelebihan Ativa dengan but seluas 303 liter sehingga 369 liter selain kerusi belakang boleh dijatuhkan dengan nisbah 60:40.

Ia juga adalah model pertama Perodua didatangkan dengan enjin 1.0 liter turbo dengan transmisi Boleh Laras Berterusan (D-CVT) yang menjana kuasa 98 PS dan tork 140Nm.

Penggunaan bahan api efisien dengan 18.9 kilometer per liter (km/l) menjadikan ia sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) kelima buat jenama ini.

Ativa juga didatangkan dengan teknologi terkini menerusi Pemanduan Autonomi Tahap 2 serta Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) 3.0, ia kali pertama dipasang untuk Perodua Ativa dan terdapat pada semua varian.

ASA 3.0 ini berfungsi pada kelajuan tinggi sehingga 120 kilometer sejam (km/j) dan sehingga 60 km/j untuk pejalan kaki, yang kini boleh mengesan kenderaan dua roda serta berfungsi pada waktu malam.

Ciri ASA antaranya meliputi Amaran Pra-Pelanggaran (PCW), Sistem Brek Pra-Perlanggaran (PCB) dan Kawalan Kekal Lorong (LKC).

Sistem keselamatan pula antaranya membabitkan enam beg keselamatan, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Pengagihan Brek Elektronik (EBD).

Untuk pilihan warna, varian AV datang dengan dua tona iaitu Merah Mutiara Delima dan Putih Mutiara Delima serta bumbung hitam.

Untuk varian H dan X, ia datang dengan pilihan warna sama tanpa dua tona dengan tambahan warna Biru Cobalt, Kelabu Granite dan Perak Glittering.

Untuk pasaran Malaysia, Perodua Ativa 1.0L Turbo dijual pada harga RM61,500 (X-Metalik), RM66,100 (H-Metalik), RM66,600 (H-Metalik Istimewa), RM71,200 (AV-Metalik), RM71,700 (AV-Metalik Istimewa) dan RM72,000 (AV-Bumbung Hitam).

Ia disertakan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau 150,000km, yang mana lebih dahulu.

Disiarkan pada: March 7, 2021 @ 7:00am
d