vroom

Kesinambungan legasi

PENANTIAN selama 17 tahun cukup berbaloi apabila Toyota GR Supra Serba Baharu (A90) generasi kelima diperkenalkan ke pasaran tempatan pada 2019.

Kali terakhir, iaitu model generasi keempat dikeluarkan ialah pada 1993 dan selepas itu ia seakan-akan 'hilang' dari radar tanpa model baharu sehingga muncul kembali menerusi versi konsep pada 2014.

Model FT-1 yang dihasilkan di Calty Studio, California, Amerika Syarikat (AS) itu mula dipamerkan kepada umum di Pameran Auto Antarabangsa Amerika Utara pada 2014 dengan rekaan yang banyak diketengahkan pada model GR Supra ini.

Malah di Malaysia, ia juga pernah dipertontonkan ketika Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS 2018).

Vroom berpeluang memandu uji model Toyota GR Supra Serba Baharu yang juga model tertinggi untuk Toyota yang dibawa masuk menerusi UMW Toyota Motor (UMWT) sebagai pengedar utama kenderaan jenama itu di negara ini.

Melihat kepada penggayaan luaran, reka bentuknya diinspirasikan daripada model sport Toyota 2000GT yang pernah dihasilkan sekitar 1960-an.

Karakter yang sama dengan bonet panjang, GR Supra ini juga didatangkan dengan kerangka selebar 1,854 milimeter (mm), jarak asas roda 2.470mm (2,570mm untuk Toyota 86) dan panjang keseluruhan 4,379mm dengan berat kering sekitar 1,580 kilogram (kg).

Untuk pencahayaan, semua lampu adalah daripada LED dengan lampu nyalaan siang (DRL) melintang yang menyerlahkan wajah garangnya dari jauh. Ia dipadankan dengan rim aloi 19 inci.

Selain dua salur ekzos ciri prestasi, terdapat banyak ruang liang udara tertutup pada bahagian badan untuk kemudahan naik taraf pemiliknya pada masa hadapan.

Menjengah ke dalam ruang kabin cukup mengujakan. Selain hanya memuatkan dua penumpang, proses kemasukannya juga agak mencabar.

Penulis yang berketinggian 176 sentimeter perlu 'melentik' badan bagi memudahkan masuk ke kerusi pemandu, namun sebaik berada di dalamnya, ia cukup selesa. Perkara sama diulang ketika mahu keluar dari kenderaan.

Pada bahagian papan pemuka, ia dilengkapi sistem infotainmen 8.8 inci bagi kemudahan sistem hiburan, maklumat, navigasi dan kamera undur.

Kerusinya larasan elektrik dan ia diinspirasikan daripada sukan permotoran.

Meskipun berciri prestasi, ruang kabin dilengkapi 10 pembesar suara premium JBL, selain disediakan pengecas USB dan pengecas tanpa wayar.

Konsol tengah dengan tuil gear, brek parkir elektronik, butang mod pemanduan dan dua ruang meletak cawan minuman yang dihiasai elemen gentian karbon meningkatkan lagi kehebatan jentera ini.

Pada roda stereng, ia lengkap dengan pelbagai fungsi larasan sistem pelayaran, butang menjawab panggilan telefon dan 'pedal shift'.

Untuk pemandu, disediakan paparan 'Head-Up' pada cermin hadapan untuk kemudahan serta lebih fokus pada trafik.

Sistem penyaman udara dua zon dengan Kawalan Suhu Automatik memastikan ruang sentiasa nyaman sepanjang perjalanan.

Ia juga dilengkapi but berkapasiti 290 liter bersepadu.

Ia dikuasakan dengan enjin B58 dengan janaan 2,998cc enam silinder selari, DOHC, Twin Scroll Turbo yang mengalirkan kuasa 388PS pada 5,800 hingga 6,500 rpm dan tork 500Nm pada 1,800 hingga 5,000 rpm.

Ia mampu memecut daripada sifar ke 100 kilometer/sejam (km/j) dalam tempoh 4.1 saat serta kelajuan maksimum sehingga 250km/j (terhad secara elektronik) menerusi transmisi lapan kelajuan automatik.

Melalui dua mod pemanduan normal dan sport, ia membolehkan jentera ini mudah mencapai kelajuan tinggi dan sangat responsif melalui pacuan roda belakang (RWD).

Penulis juga dapat berasakan pengendalian terbaik ditawarkan dalam pelbagai bentuk jalan raya sama ada selekoh atau laluan lurus dengan prestasi yang sentiasa 'meluap-luap'.

Ia ditala dengan sistem suspensi 'Double Jointed MacPherson Strut' dengan palang penstabilan pada hadapan dan belakang.

Secara keseluruhan model Toyota GR Supra ini didatangkan dengan pakej menarik selepas sekian lama menyepi.

Sepanjang sesi pandu uji, ia sering menjadi perhatian malah ramai yang menegur, mengangkat tangan serta memuji rekaannya.

Aura Supra itu sendiri sudah tidak perlu diperkenalkan lagi.

Untuk pasaran Malaysia, pada Julai tahun lalu, model ini diberi beberapa tambahan iaitu daripada segi kuasa yang dipertingkatkan sebanyak 48PS kepada 388PS, bar penstabilan dan berat bertambah sekitar 10 kilogram.

Ia juga didatangkan dengan angkup brek cakera hadapan dengan tulisan Supra menyerlahkan gaya.

Melalui tangki bahan api 52 liter, walaupun di dalam segmen sport, ia tidak 'menelan' petrol dengan lahap malah antara yang terjimat dan mampu mencatatkan perjalanan lebih 300km bergantung kepada corak dan gaya pemanduan.

Ia juga dilengkapi sistem keselamatan seperti tujuh beg udara SRS dan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC).

Tujuh pilihan warna ditawarkan iaitu Putih Metalik, Perak Metalik, Kelabu Ais Metalik, Hitam Metalik, Merah Prominence (seperti unit pandu uji), Kelabu Metalik 'Matte Storm' dan Kuning Lighting.

Untuk pasaran Malaysia, Toyota GR Supra dijual pada harga RM589,987 hingga RM599,581 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan.

Disiarkan pada: March 7, 2021 @ 7:01am
d