xpresi

Perebutan raja, ratu gunung

Oleh Rosman Shamsudin

LALUAN ‘off-road’ dalam Pertandingan Deuter Montain Bike (MTB) Jamboree Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 2019 di Tanjung Malim sejauh 40 Kilometer (KM) disifatkan antara laluan paling mencabar dalam sejarah penganjuran sukan berkenaan di negara ini.

Majlis pelepasan peserta disempurnakan secara bersama oleh Pengerusi Eksekutif Universal Fitness and Leisure (UFL) Sdn Bhd, Datuk Malek Noor; Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Wan Kamarul Azran Wan Yusof dan Pegawai Daerah Muallim, Shamsul Ridzuan Idris.

Pertandingan anjuran UFL dengan kerjasama UPSI itu bermula di Pusat Arena Sukan UPSI kira-kira jam 8.30 pagi dan disertai kira-kira 1,500 peserta basikal lasak dari seluruh negara.

Lapan kategori dipertandingkan termasuk yang paling menarik, kategori King Of Mountain dan Queen Of Mountain yang memerlukan peserta berlumba di puncak paling tinggi iaitu 496 meter bagi merebut gelaran itu.

Sepanjang laluan dan selepas melalui jalan berturap, peserta merentasi jalan berbukit di kaki Gunung Liang yang juga sebahagian daripada Banjaran Titiwangsa.

Bermula saat itu, kekuatan jasmani dan mental memang teruji kerana banyak bukit yang mesti didaki dan dituruni dengan berhati-hati menyebabkan ramai peserta lebih banyak ‘menuntun’ basikal daripada mengayuh kerana utamakan keselamatan diri.

Peserta daripada Kelab Takung Cycling (TCC), Klang, Selangor, Shahrizal Mohd Fauzi, 39, berkata, cabaran kali ini disifatkan paling ekstrem antara 12 pertandingan sukan basikal lasak yang pernah disertainya.

“Seluruh teknik dan kemahiran serta pengalaman dalam sukan basikal lasak digunakan sepanjang menempuh cabaran di laluan berbukit dan bercerun curam. Laluan mendaki bukit menegak ke atas menyebabkan kadangkala saya terpaksa ‘menuntun’ basikal ketika mendaki dan turun bukit.

“Ini kerana, dalam keadaan laluan yang bertanah dan pasir, memang sukar untuk mengawal brek,” katanya yang mengalami kecederaan di bahagian lutut dan siku akibat terjatuh ketika menuruni bukit.

Peserta daripada Kelab K One Cycling, Pulau Pinang, Zamri Ahmad, 36, juga menyifatkan laluan basikal lasak kali ini memang mencabar ketahanan mental dan jasmani sepanjang merentasi laluan berbukit-bukau itu.

Bagi peserta wanita daripada Kelab Pinky Women Rider, Kuala Lumpur, Mastura Nor Jasmani, 35, dia terkejut dengan cabaran laluan basikal lasak dalam pertandingan kali ini.

“Laluan sebegini memerlukan kemahiran taktikal yang tinggi dan dalam keadaan ini, pengalaman memainkan peranan dalam menempuhi cabaran di laluan denai air serta berpasir serta berbatu.

“Bila mendaftar diri dalam pertandingan ini, memang saya sudah membuat persediaan jasmani melalui latihan dan mental kerana biasanya laluan basikal lasak di kawasan ini memang terkenal bercerun curam,” katanya yang baru kembali aktif selepas berehat panjang melahirkan anak.

Peserta remaja, pelajar tingkatan satu dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Darul Aman Heights, Muhamad Aizam Haris Mohd Fauzi, 13, pula menyifatkan sepanjang latihan dan penyertaannya dalam pertandingan basikal lasak sebanyak 15 kali, dia tidak pernah melalui cabaran laluan bukit-bukau seperti di MTB ini.

Dia yang mewakili Kelab 4G Bike Pulau Pinang juga hampir putus asa meneruskan cabaran basikal lasak kali ini, namun dengan sokongan bapanya yang turut menyertai pertandingan ini, dia berjaya menamatkan perlumbaan.

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Penjenamaan, UFL Sdn Bhd, Ahmad Tarmizi Mahmud berkata, penganjuran kali pertama di UPSI ini turut disertai peserta asing iaitu dari Thailand, Singapura dan United Kingdom (UK).

Menurutnya, penganjuran ini bertujuan mempromosikan laluan yang terdapat di UPSI kepada peminat sukan basikal lasak.

Jelasnya, pihak UFL mengambil inisiatif menganjurkan sukan basikal lasak selepas mendapat pandangan peminat sukan basikal dan mahu menghidupkan kembali sukan basikal lasak di negara ini yang kini didapati kebanyakannya bertumpu pada pertandingan di jalan raya.

“Memang tidak dapat dinafikan laluan basikal disediakan penganjur memang benar-benar menguji ketahanan fizikal dan mental peserta .

“Kira-kira 30 peratus laluan terpaksa ditempuh peserta dan hanya peserta yang ternyata lasak serta mempunyai kekuatan fizikal dan mental tinggi terdaya mengharung cabaran sepanjang perjalanan laluan basikal itu,” tambahnya.

Kata Ahmad Tarmizi lagi, kejayaan mengajurkan pertandingan ini memberi idea kepada pihak UFL Sdn Bhd menganjurkan pertandingan peringkat antarabangsa pula dengan menggunakan promosi melalui rangkaian Deuter di China, Korea Selatan, Jerman dan Amerika Syarikat.

Disiarkan pada: October 6, 2019 @ 5:00am
d