xpresi

Rekreasi bandar [METROTV]

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

SINGAPURA terkenal sebagai negara yang pesat membangun dan mengguna pakai pelbagai teknologi terkini dalam menawarkan tarikan pelancongan.

Walaupun dalam keadaan saiz negara yang kecil berbanding Malaysia, Singapura bijak mengambil pendekatan teknologi untuk menyediakan lebih banyak pilihan menarik untuk pelancong.

Baru-baru ini, kunjungan ke negara seberang Tambak Johor itu membawa penulis ke satu lagi tarikan pelancongan yang berbeza iaitu Gardens by the Bay yang terletak di Marina Gardens Drive, berhampiran bangunan ikonik Marina Bay Sands.

Menelan kos yang tinggi untuk pembinaannya iaitu sekitar SG$1.035 bilion (RM3.17 bilion) dan kos operasi tahunan mencecah SG$58 juta (RM177.4 juta), ia berjaya mencatatkan jumlah 50 juta pelawat setakat ini.

Ketika awal pengumumannya pada 2005, Gardens by the Bay disasarkan menjadi ruang rekreasi bandar premium dan diangkat sebagai ikon kebangsaan.

Dalam kunjungan ke Singapura baru-baru ini, penulis menjengah ke dua ruang pameran di Gardens by the Bay iaitu Flower Dome dan Cloud Forest.

Flower Dome adalah ruang seluas 1,300 meter persegi yang boleh memuatkan sehingga 1,000 pengunjung dalam satu masa.

Ia menampilkan tumbuhan dari Mediterranean dan negara subtropika, di mana tumbuhan yang dipaparkan boleh berubah mengikut musim dan perayaan.

Bagi memastikan tumbuhan berkenaan kekal terpelihara, suhu yang diperlukan adalah antara 23oC hingga 25oC dengan kadar kelembapan antara 60 peratus hingga 80 peratus.

Di ruang ini, pengunjung berpeluang menyaksikan sembilan taman yang dihiasi pelbagai jenis bunga dan tanaman eksotik dari Mediterranean dan negara separa gersang di lima benua berbeza.

Antara tumbuhan yang terdapat di Flower Dome ialah Adansonia grandidieri, Adansonia madagascariensis, Camellia japonica, Carnegiea gigantea dan Ferocactus glaucescens.

Di sini juga terdapat pelbagai jenis kaktus dan sukulen dari yang sekecil duit syiling hinggalah yang tinggi bak pokok kelapa.

Di Cloud Forest pula, pengunjung berpeluang menikmati suasana nyaman dan menenangkan di mana suhu di lokasi itu adalah sama umpama di kawasan pergunungan hutan hujan tropika.

Bunyi deruan air terjun setinggi 35 meter menjemput pengunjung masuk di pintu utama benar-benar menggamit suasana damai.

Pengunjung juga berpeluang menyaksikan ruang dengan tema berbeza antaranya The Lost World, The Cavern, The Waterfall View, The Crystal Mountain, The Cloud Forest Gallery, The Cloud Forest Theatre dan The Secret Garden yang dibarisi pelbagai jenis tumbuhan berbeza.

Apa yang menarik di Cloud Forest, buat pertama kalinya penulis berpeluang menyaksikan tumbuhan yang ‘menelan’ mangsanya.

Venus flytrap atau nama saintifiknya, Dionaea muscipula adalah tumbuhan bersifat karnivor dan biasanya didapati di kawasan pantai timur Amerika Syarikat iaitu sekitar Carolina Utara dan Carolina Selatan.

Ia ‘memerangkap’ mangsanya yang terdiri daripada serangga dan labah-labah melalui daun yang mempunyai rambut halus di permukaannya.

Amaran turut diletakkan di ruang pameran tumbuhan berkenaan bagi mengelakkan pengunjung meletakkan jari mereka pada tumbuhan itu.

Mereka yang bekerja sebagai pereka landskap, hortikulturis, pakar pengurusan taman atau sekadar peminat orkid, ros dan kaktus, Gardens by the Bay adalah destinasi yang wajib dikunjungi.

Pastikan bateri telefon pintar penuh sebelum sampai ke sana kerana tentu ratusan gambar akan diabadikan sebagai kenangan kunjungan ke sini.

Sekiranya berpeluang ke Singapura namun tidak sempat berkunjung ke Gardens by the Bay, anda juga boleh cuba ‘mencuci mata’ di Jewel yang terletak di Lapangan Terbang Changi.

Pastikan anda mempunyai masa secukupnya sebelum waktu penerbangan kerana perjalanan ke lokasi ini mengambil masa kira-kira 15 minit dengan berjalan dari Terminal 3 lapangan terbang berkenaan.

Di sana anda boleh mengunjungi Canopy Park yang menyajikan pelbagai spesies flora dengan tiket kemasukan hanya SG$5 (RM15.30).

Pengunjung juga boleh mendapat akses ke Discovery Slides, Foggy Bowls, Petal Garden dan Topiary Walk dengan tiket kemasukan yang sama.

Selain itu, jangan lepaskan peluang menyaksikan HSBC Rain Vortex iaitu air terjun dalam bangunan tertinggi di dunia yang menjadi mercu tanda Jewel.

Dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 11.30 malam, pengunjung juga berpeluang menikmati persembahan lampu dan bunyi yang berlangsung setiap jam.

Disiarkan pada: December 1, 2019 @ 5:05am
d