xpresi

Menghayati keindahan kota Berlin

Oleh Shah Shamshiri

PENGALAMAN berkunjung Berlin, ibu negara Jerman ini mungkin tidaklah sepopular bandar raya Eropah lain seperti London atau Paris. Namun kota yang di Eropah Utara ini semakin terkenal dalam kalangan pelancong Eropah dan Asia.

Menyimpan sejarahnya tersendiri, Berlin masih kaya dengan elemen peninggalan zaman Perang Dunia Pertama dan Kedua yang membuatkan beberapa sudut kota kelihatan bagaikan dipetik daripada buku sejarah.

Dianggap sebagai antara kota termaju di Eropah berkat arus kemodenan dunia dari segi gaya hidup serta pembangunan, kawasan lama Berlin turut menjadi tarikan pelancong.

Ternyata masih banyak sisa sejarah di daerah terdahulu di bandar raya ini membuatkan pengunjung dari serata dunia pasti tertarik dengan peninggalan itu.

Seperti kebanyakan kota di Eropah, Berlin memiliki bangunan dengan rekaan seni bina klasik yang indah dan malar segar.

Bagi yang memasuki Berlin menerusi jalan udara, ada beberapa lapangan terbang antarabangsa, namun semuanya bersambungan dengan sistem U-Bahn (tren bawah tanah) dan kereta api darat yang sangat cekap serta teratur.

Terdapat banyak penerbangan dari Asia yang terbang langsung ke Berlin, namun Scoot di antara syarikat menawarkan harga tambang paling berpatutan untuk penerbangan tambang rendah.

Dari Kuala Lumpur, penulis memilih penerbangan transit di Singapura sebelum ke Jerman. Penerbangan juga sangat selesa dan menyenangkan.

Bagi memudahkan perjalanan di sekitar bandar raya Berlin pula, pelancong boleh membeli ‘Berlin Welcome Card.’ Ia kad khas membolehkan pengguna menaiki pengangkutan awam ke mana saja sekitar Berlin tanpa had mengikut jumlah hari yang ditetapkan.

Kad ini boleh dibeli di lapangan terbang, stesen kereta api dan beberapa kedai tertentu. Lebih menarik, kad ini juga

membolehkan pelancong mendapat potongan harga untuk melawat tempat tertentu. Selain itu, kanak-kanak di bawah 14 tahun boleh menaiki pengangkutan awam secara percuma!

Seni bina indah Berlin dapat dinikmati dengan lebih cepat dan mudah jika menaiki bas Hop On Hop Off yang disediakan khas buat pelancong. Ia akan melalui jalan dan bangunan utama bandar raya itu. Semua penumpang bas akan diberi alat pendengar dalam pelbagai bahasa (termasuk bahasa Malaysia yang diselang-selikan dengan bahasa Indonesia).

Antara bangunan popular yang menjadi tarikan ramai adalah Fernsehturm (TV tower) atau Menara TV di Alexanderplatz. Ia struktur tertinggi di Kesatuan Eropah dengan ketinggian 368 meter.

Dibina pada 1969, terdapat tingkat observasi khas yang membolehkan pengunjung melihat kota Berlin dari ketinggian 204 meter.

Tidak dilupakan juga Rotes Rathaus (Dewan Bandaraya), yang sinonim dengan seni bina batu bata merahnya.

Semestinya mercu tanda Berlin yang paling popular adalah Brandenburg Gate atau pintu gerbang Brandenburg. Ia mercu tanda ikonik Berlin dan Jerman yang berdiri sebagai satu lambang keamanan serta penyatuan dalam sejarah Eropah.

Ia sering diabadikan di dalam poskad dan imej pelancongan Jerman. Gerbang itu memang kelihatan begitu indah sama ada siang atau malam.

Selain tarikan itu, Berlin sudah tentu terkenal dengan runtuhan tembok Berlin yang satu ketika dahulu pemisah antara Jerman Barat dan Jerman Timur ketika perbezaan ideologi serta kuasa politik.

Ia akhirnya diruntuhkan pada 1989 selepas kedua-duanya bersatu hingga ke hari ini.

Berlin juga boleh dilawati melalui jalan air dengan menaiki bot pesiar yang melalui sungai utama Berlin iaitu Spree. Ia memberi pandangan berbeza dari jalan darat yang biasa dilalui.

Menjamu selera juga tidak menjadi masalah bagi yang beragama Islam kerana terdapat banyak penduduk Muslim berketurunan Turki dan Arab.

Mereka membuka banyak cawangan restoran halal di seluruh Jerman. Di tingkat paling atas pusat beli-belah Mall of Berlin ada beberapa gerai menjual makanan halal termasuk burger yang lazat.

Untuk pilihan penginapan pula, Berlin tidak ketandusan, dari hotel bajet yang paling murah dan hostel hinggalah paling mewah, semuanya ada.

Sementara itu, banyak hotel berkonsep pangsapuri ranggi dengan seni reka dalaman yang sangat menarik seperti Aparthotel Adagio Berlin Kurfurstendamm di pusat kota dengan tawaran harga sangat berpatutan.

Ternyata Berlin benar-benar utuh sebagai sebuah bandar raya percutian di Eropah. Ia benar-benar gah dan pasti bakal disenangi pengunjung!

Disiarkan pada: March 1, 2020 @ 7:00am
d