xpresi

Hayati kemasyhuran Alexandria

Oleh Dr Nazatul Shahnaz Mohd Nazri

PENGALAMAN sama-sama menjayakan Program Super Doc 3.0 anjuran Mara Education Enhancement Program (MEEP) untuk pelajar yang menuntut di Universiti Alexandria, Mesir kira kira tiga tahun lalu tidak akan saya lupakan.

Apatah lagi berpeluang menemani suami tercinta Dr Ahmad Mahyuddin Mohamed kerana terpilih antara penceramah jemputan. Dikatakan kunjungan kali ini diibaratkan bekerja sambil bercuti.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang sekitar jam 2 pagi kami menaiki pesawat dan perjalanan mengambil masa enam jam 25 minit untuk sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai.

Kemudian, kami bergegas mencari musolla atau surau untuk menunaikan solat Subuh. Pada mulanya kami tersesat dek papan tanda yang ada agak mengelirukan.

Akhirnya barulah kami menemui surau di Gate B23. Pengajaran yang diperoleh ialah apabila kita berada di suatu tempat yang agak asing kena rajin-rajin bertanya orang jika tidak mahu tersesat.

Seterusnya kami perlu menunggu kira kira empat jam untuk penerbangan seterusnya. Dari Dubai, kami menaiki pesawat Emirates Airlines menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah di Abu Rawwash, Al Jizah, Mesir.

Pemandangan Kaherah melalui ruang udara begitu mengagumkan. Hati kami girang kerana tidak sabar menantikan detik kapal terbang mendarat di landasan.

Maka bermulalah musafir terindah buat kami. Pada hari pertama sebaik kami melangkah keluar dari perut pesawat menuju ke balai ketibaan, kami dipertontonkan satu persembahan kebudayaan tarian sufi atau dikenali sebagai 'street performance.'

Begitu lemah gemalai penari mengikut lenggok lagu yang dimainkan. Kostum pakaian yang disarungkan penari juga berwarna-warni. Keadaan cuaca yang begitu nyaman dan segar dengan suhu berada sekitar 24 darjah Selsius.

Tidak panas dan tidak sejuk. Itulah yang dapat kami simpulkan. Kami dipertemukan dengan rakan sejawatan yang diundang untuk bergandingan menerusi program terbabit iaitu Senior Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom bersama isterinya, Dr Noor Aini Raimi.

Ketibaan kami disambut dengan penuh mesra oleh Faizal Bashir iaitu Timbalan Pengarah Mara Mesir dan diiringi Liason Officer Program Super Doc 3.0, Adib Afifi yang baru saja menamatkan pengajian perubatan beliau.

Kami dibawa menaiki sebuah van.

Dalam perjalanan kami menikmati aiskrim yang sungguh istimewa. Kami menyusuri lebuh raya yang seakan-akan baru disiapkan.

Banyak yang sudah berubah wajah tidak seperti ketika pertama kali kami mengunjungi Mesir. Perjalanan ke Hotel Paradise Inn Windsor Palace sebagai lokasi penginapan memakan masa selama empat jam.

Sebaik saja menjejakkan kaki di lobi hotel, kami dihadiahkan sekuntum bunga ros berwarna merah yang segar sebagai tanda 'selamat datang' oleh kakitangan hotel yang bertugas.

Ternyata mereka mempunyai cara tersendiri menghargai pelanggan yang datang menginap di hotel mereka.

Sementara menunggu daftar masuk ke bilik hotel, kami mengamati keadaan persekitaran hotel. Ternyata susun atur setiap sudut hotel begitu cantik, kemas dan menarik. Setiap pintu lif di hotel ini tampak terbuka, bercirikan klasik dan antik.

Namun, gabungan unsur moden dan tradisi dikekalkan dalam setiap ukiran seni binanya. Seterusnya kami disajikan hidangan makanan tengah hari yang sungguh menyelerakan.

Pada sebelah malam, kami mengadakan perkongsian santai atau 'Shai Talk' bersama pelajar perubatan dan pergigian Universiti Alexandria di Bangunan Mara Alexandria.

Hari kedua di bumi Mesir, kami menikmati sarapan ala Mesir dalam suasana yang begitu klasik. Acap kali kornea mata kami tertumpu ke arah lukisan bervisual seakan-akan pemandangan dasar bawah laut yang terdapat di atas permukaan siling hotel.

Kebarangkalian ia dihasilkan pelukis terhebat dan tersohor yang dibiayai pihak hotel sebagai daya tarikan di ruang lounge of Le Metropole Alexandria. Di sebabkan Program Super Doc 3.0 bermula dengan rasmi pada lewat petang, masa yang senggang itu kami gunakan dengan menjelajah beberapa destinasi yang menarik di sekitar Alexandria.

Di Alexandria tempat paling sinonim yang patut di kunjungi ialah Citadel Of Qaitbay. Ia sebuah kubu pertahanan yang terhebat dan paling penting pada abad ke-15.

The Citadel terletak di sebelah timur bahagian utara Pulau Pharos di muara pelabuhan timur. Kubu yang berketinggian 17 meter dan berlebarkan 80 meter itu pada asalnya dibina pada 1477 oleh Sultan Al Ashraf Sayf al Din Qai't Bay untuk menangkis serangan bertali arus daripada Kerajaan Uthmaniah dan berperanan menjamin keselamatan bagi laluan kapal yang berdagang di persisiran pantai Laut Mediterranean.

Pembinaannya dikatakan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan. Di menara utama kubu itun ada tiga bahagian iaitu masjid di tingkat atas, tingkat kedua berfungsi sebagai galeri dan ruang kediaman untuk tentera.

Tingkat tiga pula dijadikan stor penyimpanan senjata dan kabinet komander. Seni bina yang di persekitaran kubu ini begitu mengagumkan dan wajib anda terokai apabila sampai di Alexandria.

Untuk sampai ke puncak kubu, anda perlu menaiki tangga yang sedikit sempit. Memang termengah-mengah kami dibuatnya. Segala penat kita akan hilang apabila melihat pemandangan laut yang cantik lagi mendamaikan.

Kemasyhuran kota Alexandria yang menjadi kota kedua terbesar di Mesir selepas Kaherah membuatkan kami tidak sabar untuk mengunjungi Istana Montaza yang di dalamnya ada istana, muzium perpustakaan dan taman di daerah Montaza di Alexandria, Mesir.

Ia dibina di dataran rendah di timur Pusat Alexandria yang menghadap pantai Laut Mediterranean. Di dalamnya ada istana raja terakhir Mesir, Raja Farouq yang digulingkanketika Revolusi Mesir 1952.

Kami turut mengadakan lawatan singkat ke Bibliotheca Alexandrina. Ia sebuah perpustakaan dan pusat kebudayaan termoden dan terbesar di dunia.

Ia mempunyai pelbagai jenis muzium iaitu muzium manuskrip, muzium barangan antik, muzium sains dan planetarium. Di dalamnya terhimpun ribuan barangan berharga berunsur sejarah termasuk artifak dan buku dipamerkan untuk tatapan pengunjung.

Ini termasuk koleksi hasil lukisan seni rakyat Mesir dan ukiran arca wajah pemimpin atau negarawan ulung.

Jika Paris, ibu negara Perancis terkenal dengan gelaran kota cinta dan fesyen, Alexandria memiliki gelaran 'kota pantai penuh romantik'. Kami menyusuri di pesisiran pantai yang sangat indah seluas saujana mata memandang.

Air laut berwarna hijau kebiruan. Terdapat kerusi meja berwarna putih disediakan untuk keselesaan pengunjung beristirahat. Kami tak betah dibuatnya kerana terleka menyaksikan deruan ombak pantai bagaikan bergema.

Hari ketiga saya diamanahkan menyampaikan dua siri ceramah dan perkongsian ilmu, kepakaran selain pengalaman kepada lebih 280 pelajar perubatan serta pergigian Malaysia di Mesir. Majoriti adalah pelajar Malaysia di Alexandria, namun ada juga yang datang daripada Kaherah, Tanta dan Mansoura. Saya menyumbang beberapa buku sebagai hadiah cabutan bertuah. Seronok betul mereka.

Pada hari terakhir, kami diraikan makan malam iaitu nasi beriani di Mara Student Residence. Sebelum pulang ke tanah air, kami tidak lupa membeli cenderahati istimewa untuk diberikan kepada keluarga dan sahabat handai sebagai tanda kenangan kami pernah bermusafir di Mesir.

Kami berlepas ke Kaherah awal pagi keesokannya untuk pulang semula ke tanah air. Sesungguhnya ia pengalaman yang 'meletihkan' tetapi amat bermakna!

Disiarkan pada: May 3, 2020 @ 7:00am
d