xpresi

Dagestan selamat dikunjungi

Oleh Mazziatul Feesya Salleh

KEINGINAN menjejaki sebuah wilayah bergolak dan mencari kelainan dalam pengembaraan membawa saya bersama suami serta rakan menjejak kaki ke Republik Dagestan, tahun lalu.

Ia adalah wilayah yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di Russia iaitu hampir 99 peratus. Sebelum ini Dagestan sering dikaitkan dengan pelbagai isu negatif seperti pergolakan dan keganasan.

Namun di sebalik semua itu, wilayah berkenaan sebenarnya mempunyai alam semula jadi yang mempesonakan, kaya dengan sejarah dan mempunyai kepelbagaian etnik serta budaya.

Selain itu, penduduk di sana juga sangat mesra dan sentiasa mengalu-alukan kedatangan pengembara luar.

Bagamanapun, bukan mudah rupanya untuk penulis, suami dan rakan mengembara di bumi Dagestan kerana setibanya di Moscow kami ditahan serta disiasat manakala segala dokumen disemak dengan teliti.

Pihak imigresen bertanyakan tujuan kami ke republik itu dan terpaksa melalui pemeriksaan ketat, memandangkan keganasan di sana dikaitkan dengan pejuang Islam.

Kembara kami sepanjang di Dagestan ditemani seorang warga tempatan yang bernama Arip. Kebiasaannya pengembara luar disaran menggunakan khidmat warga tempatan untuk menjelajah kawasan terpencil di Dagestan atas faktor keselamatan. Alhamdulillah, perjalanan kami dipermudahkan.

Hari pertama di Dagestan, penjelajahan kami bermula dengan mengunjungi menara pertahanan Gimry (juga digelar kubu Akhulgo) dibina ketika Perang Kaukasus.

Menara itu menjadi saksi gugurnya imam pertama Dagestan, iaitu Imam Gazi Mogamed ketika bersama-sama Imam Shamil menentang tentera Tsar.

Menjengah pula perkampungan Untsukul' apabila kami berpeluang mencuba dan menyaksikan seni kerja tangan ukiran kayu bertatahkan logam.

Puas menilik hasil seni masyarakat tempatan, kami bergerak ke Khunzakh dahulunya dikenali sebagai kota purba Avar untuk menjengah Air Terjun Tobot yang mengalir ke dalam jurang yang dalam.

Apabila senja menjelma kami menuju ke perkampungan Gotsatl untuk bermalam di rumah seorang penduduk, Zainab, seorang wanita daripada etnik Avar dan juga guru di sebuah sekolah di perkampungan terbabit.

Keesokan harinya pula kami bergerak ke Zaib dan bertemu Risalat, seorang wanita daripada etnik Avar Dagestan yang mengusahakan guesthouse.

Sepanjang di rumahnya, kami dijamu pelbagai juadah tempatan yang mewah dan sempat juga melihat penyediaan makanan tempatan.

Kunjungan kami ke Zaib sebenarnya untuk meninjau menara Goor dan Kahib, namun disebabkan jalan berliku, licin dan berbahaya, kami hanya mampu melewati perkampungan Kahib selain melihat menara itu dari jauh.

Mengubat hasrat hati yang tidak kesampaian, kami di bawa menyusuri daerah Syamilsky dan melihat gereja yang dibina pada akhir abad ke-10 dan awal kurun ke-11.

Hari ketiga pengembaraan diteruskan dengan mengunjungi perkampungan Kubachi, perjalanan menuju perkampungan itu perlu melalui tebing jurang yang berbatu, berlumpur, berliku dan sangat sempit. Kami disambut Hijri daripada etnik Kubachi yang menjunjung tinggi warisan bangsanya.

Menurut Hijri, masyarakat Kubachi masih berpegang kuat pada akar budaya bangsa mereka dan kesempatan itu diambil bagi meninjau perkampungan berkenaan dengan lebih dekat.

Ternyata penduduknya masih kaya dengan adat resam, pakaian mereka juga unik, wanitanya kelihatan memakai kaz, iaitu selendang putih bertekad emas dan bercorak bunga-bungaan.

Setiap corak membawa maksud tersendiri, contohnya bunga besar menunjukkan perempuan itu sudah berumah tangga manakala corak kecil bagi yang belum berkahwin.

Kami juga mengunjungi Derbent iaitu kota tertua di Republik Dagestan. Ditemani Alex seorang warga tempatan selaku penterjemah, banyak informasi sejarah yang kami peroleh mengenai kemasukan Islam ke Russia melalui pintu masuk utama iaitu Naryn-Kala pada pertengahan abad ke- 7.

Alex juga menyatakan kebanyakan penduduk di Derbent berfahaman Syiah. Rezeki sentiasa menyebelahi sepanjang pengembaraan apabila kami dijemput rakan Alex bertandang ke rumahnya di perkampungan lama Derbent bagi menikmati juadah tengah hari.

Apa yang menarik, rumah warga setempat ini dindingnya adalah daripada tembok asal Naryn-Kala.

Hari keenam, kami bergerak semula ke Makhachkala untuk mengunjungi dua bentang alam di Dagestan iaitu Sulak Canyon dan Sary-Kum Sand Dune.

Sepanjang perjalanan dari Sulak ke Sary Kum post kawalan ada di mana-mana kerana ia dikatakan kawasan 'panas' dan kenderaan akan ditahan bagi pemeriksaan ketat sebelum dibenar meneruskan perjalanan.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi kami kerana tiba di Padang Pasir Sary Kum lewat hampir Maghrib dan hanya mampu melihat padang pasir di lembah yang diapit oleh gunung serta sungai.

Meniti hari terakhir di Dagestan kami meninjau sekitar Makhachkala. Kesempatan yang ada kami isi dengan mengunjungi pasar paginya, 'Market Ulitsa Dzerzhinskogo' bagi melihat kesibukan warga kotanya pada awal pagi hujung minggu.

Petangnya pula kami berkesempatan menunaikan solat di Masjid Besar Juma (Tsentral'naya Dzhuma-Mechet') yang mampu menampung sehingga 17,000 jemaah.

Siapa kata Dagestan tidak selamat untuk diteroka? Saranan saya, kunjungilah ke sana dan rasai sendiri layanan mesra penduduknya!

Disiarkan pada: August 23, 2020 @ 7:00am
d