xpresi

'Dinding'pulau bawah laut

Oleh Hafiz Ithnin

PULAU Sipadan antara destinasi selam skuba yang popular di Malaysia dan ia bukan saja mampu menarik perhatian peminat tempatan malah antarabangsa.

Terletak berhampiran Semporna, Sabah ia sememangnya kaya dengan khazanah hidupan marin yang memukau.

Jurulatih Selam Skuba Persatuan Jurulatih Selaman Profesional (PADI) dan Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia, Dr Samir Muhazzab Amin berkata, Pulau Sipadan antara destinasi wajib yang dikunjunginya setiap tahun.

Jelasnya, setiap tahun sekurang-kurangnya tiga kali dia akan berkunjung ke sana memandangkan ia antara destinasi selam skuba terbaik di dunia.

"Pulau Sipadan amat dikenali dalam kalangan penyelam rekreasi antarabangsa kerana ia mempunyai topografi unik, mencabar dengan hidupan marin yang pelbagai.

"Lokasi menyelam skuba di Pulau Sipadan ini ibarat meneroka di dinding menara KLCC kerana kira-kira 10 meter dari pesisir pantai pulau berkenaan mempunyai kedalaman dikatakan 600 meter dan seperti bersifat tidak berdasar," katanya.

Dr Samir berkata, ketika menyelam di sekitar Pulau Sipadan, penyelam skuba akan menerokai panorama 'dinding' pulau yang berada di bawah laut.

"Ketika menyelam, bagi mereka yang mempunyai kepakaran menyelam untuk menerokai gua di dalam dunia marin boleh masuk ke dalam Turtle Cave.

"Turtle Cave ini terdapat di dinding pulau itu dan di dalamnya dapat dilihat formasi gua di dalam laut. Turtle Cave juga amat dikenali sebagai kubur penyu kerana terdapat banyak bangkai haiwan berkenaan di dalamnya," katanya.

Jelasnya, Pulau Sipadan juga dilihat sebagai destinasi menyelam eksklusif yang amat dijaga pihak penguasa tempatan.

"Bagi mereka yang ingin menyelam di Pulau Sipadan, tiada penginapan di dalam pulau itu. Bagaimanapun boleh memilih sama ada untuk bermalam di Pulau Mabul atau Semporna.

"Lebih mudah gunakan pakej aktiviti menyelam skuba yang disediakan operator berlesen untuk menguruskan aktiviti itu dan penginapan," katanya.

Dr Samir antara operator aktiviti itu yang dikenali sebagai Oceanlab. Biasanya dia mengenakan caj pakej sekitar RM2,000 selama empat hari tiga malam bagi enam kali aktiviti selaman skuba.

Kebiasaannya dia memilih bermalam di Pulau Mabul kerana penyelam boleh menikmati makan laut segar yang dijual penduduk setempat dengan harga amat berpatutan.

Mengenai keindahan dunia marin di Pulau Sipadan, ia juga mempunyai pelbagai spesies ikan dan batu karang yang unik.

"Di sini, yang menjadi buruan antaranya ialah berenang di lokasi terdapatnya 'taufan' ikan barakuda dan jack fish.

"Selain itu, penyu juga banyak dan pelbagai spesies ikan yu seperti sirip hitam (blacktip) , sirip putih (whitetip) dan kelabu. Ikan yu ini tidak menyerang manusia setakat ini," katanya yang mempunyai lapan tahun pengalaman dalam bidang selaman skuba.

Katanya, pihak berkuasa taman marin tempatan juga amat menitikberatkan kelestarian hidupan marin di sana.

"Sebelum memulakan aktiviti selaman skuba, kita akan diingatkan untuk menjaga dan tidak merosakkan hidupan marin kerana keunikannya tidak ternilai," katanya.

Disiarkan pada: October 10, 2021 @ 7:00am
d