xpresi

Tarikan terkini Bagan Datuk

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

BETING Beras Basah di Bagan Datuk, Perak antara destinasi popular bagi pelancong yang mencintai dan gemar mengamati sejarah kesultanan Melayu.

Menjadi lokasi sangat penting bagi istiadat diraja Perak yang juga susur galur daripada kesultanan Melayu Melaka yakni Sultan Muzaffar Shah ketika baginda mula tiba di muara Sungai Perak, ia menyimpan sebahagian sejarah negeri ini.

Di sebalik semua itu, lokasi bersejarah itu terus menjadi tumpuan dengan tarikan baharu, Sky Mirror yang menawarkan pemandangan menakjubkan.

Mengambil masa kira-kira 15 minit perjalanan menaiki bot dari jeti di Bagan Ikan berhampiran pekan Bagan Datuk, Beting Beras Basah nyata menjadi destinasi wajib dikunjungi terutama mereka yang suka merakam kenangan alam semula jadi.

Penulis juga sempat merasai pengalaman unik seperti fenomena Salar de Uyuni ketika menyertai Program Ekspresi Cuti- Cuti Malaysia: Getaway To Perak anjuran Tourism Malaysia, baru-baru ini.

Gambar dirakam bersama pemandangan cukup menakjubkan dengan keindahan langit membiru dihamparkan di atas cerminan air nyata memberikan pengalaman baharu yang begitu mengujakan.

Untuk ke lokasi itu, anda perlu menunggu waktu sesuai mengikut jadual air surut dengan bayaran berpatutan.

Selain itu, pengunjung juga boleh menggunakan perkhidmatan operator bot di Bagan Sungai Burung yang mengambil masa kira-kira 25 minit.

Pengamal media, Liyana Ramli berkata, ekpedisi ke Sky Mirror memberi pengalaman baharu kepadanya yang belum pernah mengunjungi lokasi bersejarah itu.

Menurutnya, sebelum ini, dia hanya mengetahui Beting Beras Basah sebagai antara lokasi wajib membabitkan istiadat diraja Kesultanan Perak.

"Ini kali pertama saya datang ke Beting Beras Basah dan ia sangat mengujakan apatah lagi berpeluang meneroka pengalaman baharu.

"Sky Mirror adalah permukaan kawasan beting pasir yang timbul apabila air laut surut di tengah laut dan ia seperti padang yang luas ketika itu.

"Melihat gambar yang dirakamkan seperti cermin besar dihamparkan secara semula jadi dan langit pula dilihat di atas cerminan air cukup menakjubkan," katanya.

Sementara itu, Operator pelancongan dan pemilik Blue Tears Island Enterprise, Lim Chin Geyok berkata, Sky Mirror menjadi tarikan terkini di Bagan Datuk yang semakin mendapat perhatian pengunjung dalam dan luar daerah ini.

Menurutnya, boleh dikatakan setiap hari ada air surut cuma waktunya saja yang berbeza dan dia perlu merancang perjalanan mengikut jadual dengan pengunjung paling ramai pada hari minggu serta cuti umum.

"Air surut dalam tempoh antara empat hingga lima jam dan kita akan merancang perjalanan terbaik untuk pengunjung merasai pengalaman menarik itu.

"Kita bermula sejak 2018 dan Sky Mirror menjadi tarikan baharu selepas Pulau Sembilan ditutup buat sementara untuk aktiviti pelancongan. Ia menjadi tambahan produk pelancongan di Bagan Datuk," katanya.

Program Ekspresi Cuti- Cuti Malaysia: Getaway To Perak itu turut membawa peserta melawat beberapa lokasi pelancongan menarik seperti ladang bunga matahari di Bagan Sungai Burung, Bagan Datuk.

Selain itu, peserta juga berbasikal mengelilingi pekan Teluk Intan bagi menjejaki Stesen Keretapi Lama, Batu Bertenggek Teluk Intan, Mahkamah Lama Teluk Intan dan Menara Condong.

Mereka turut merasai pengalaman memancing udang galah di Sungai Perak, melawat ladang MOCCIS Sdn Bhd, menikmati menu yang sinonim dengan Teluk Intan iaitu mi rebus dan rojak serta menaiki river cruise bagi menyaksikan matahari terbenam selain melihat kelip-kelip serta meneroka Pulau Bangau.

Turut dilawati perusahaan kecil dan sederhana seperti pembuatan biskut kacang serta kacang tumbuk, penghasilan labu dan tembikar selain perusahaan dodol di sekitar Sungai Manik dan Kampung Gajah.

Disiarkan pada: May 29, 2022 @ 7:00am
d