xpresi

Seni pejuang batik

Oleh Nor 'Asyikin Mat Hayin

PERANAN pencanting batik sangat penting dalam memastikan riwayat batik asli Malaysia kekal bertahan.

Ini kerana industri batik asli berhadapan persaingan dengan batik tiruan yang mampu membunuh kelangsungan seni kraf berkenaan.

Namun, tidak ramai berkebolehan mencanting batik asli menyebabkan legasi batik turut terjejas.

Hanya mereka yang mempunyai minat mendalam terhadap batik asli sahaja boleh menceburi bidang berkenaan, sekali gus menjadi individu penting mempertahankan seni tradisional Melayu.

Yus Faizal Abdul Rahim, 40, antara pejuang batik asli Melayu yang menceburi bidang batik canting sejak 2002.

Menurutnya, pembabitan dalam bidang berkenaan bermula sebagai pelatih di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) sebelum melanjutkan pengajian di Institut Kraf Negara (IKN).

"Minat mendalam terhadap batik membantu saya hingga menjadi pelajar terbaik IKN.

"Selepas melalui pelbagai episod kehidupan dan kerjaya, mendorong saya mengorak langkah lebih jauh dalam bidang ini dengan membuka perniagaan Kakeebatik di Rawang, Selangor," katanya.

Katanya, ada tiga jenis batik di pasaran iaitu batik canting, batik blok dan batik skrin.

"Tetapi hanya batik cantik dan batik blok sahaja yang mempunyai nilai tradisi, motif beridentitikan seni serta budaya masyarakat Malaysia.

"Walaupun mempunyai kakitangan, tetapi saya masih terbabit dalam kerja-kerja menghasilkan batik canting daripada proses pertama hingga akhir secara kraf hasil tangan," katanya.

Menurutnnya, ia bermula daripada proses menyurih, mencanting, mewarna, mematikan warna, merebus, pengeringan dan menggosok yang dilakukan secara manual.

"Proses lengkap menghasilkan batik selama sehari dan ia bergantung kepada reka bentuk batik.

"Meskipun kaedah penghasilan batik dilakukan secara manual, tetapi dengan kepakaran saya miliki dan dibantu kakitangan, bermakna dapat mengeluarkan lima helai kain batik sehari.

"Bahan penting dalam menghasilkan batik ialah lilin dicampur dengan damar getah. Tujuannya supaya lilin kukuh di atas permukaan kain dan memberi kesan halangan kepada warna," katanya.

Jelasnya, ramai salah faham yang menyangka nilai batik pada corak, tetapi hakikat sebenar terletak kepada kaedah pembuatannya.

Ditanya mengenai permintaan batik dalam kalangan rakyat Malaysia, Yus Faizal berkata, trend itu semakin meningkat kebelakangan ini, lebih-lebih lagi selepas kerajaan mengumumkan penjawat awam wajib memakai pakaian batik setiap Khamis.

"Usaha baik ini boleh membawa industri batik ke satu tahap lebih tinggi apabila pakaian batik diperagakan orang ramai.

"Sebagai pakar batik canting, saya ambil peranan ini untuk menghasilkan konsep moden menggunakan genre abstrak dalam lukisan batik keluarannya.

"Ini dapat menarik peminat batik baharu yang sebelum ini tidak meminati pakaian tradisi berkenaan," katanya.

Untuk rekod, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah adalah peminat hasil kerja seni tangan Yus Faizal.

Tunku Azizah sudah 39 kali mengunjungi kilangnya di Rawang dan Yus Faizal menjadi rakan batik (berada di sebelah) apabila baginda hendak membuat batiknya.

Disiarkan pada: February 4, 2024 @ 7:00am
d