Kuala Lumpur: Pemain beregu campuran negara, Lai Pei Jing (kiri) akan menggalas tanggungjawab berat menjelang Piala Sudirman dari 21 hingga 28 Mei ini selepas ketiadaan Goh Liu Ying yang masih dibelenggu kecederaan.

Pei Jing dijangka beraksi dalam semua perlawanan peringkat kumpulan bersama Chan Peng Soon apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyenaraikan tonggak muda Cheah Yee See selaku pemain simpanan.

Bagaimanapun, jurulatih beregu campuran negara, Chin Eei Hui mengakui mereka akan terasa ketiadaan Liu Ying dan terpaksa akur dengan perkara itu kerana berlaku pada saat akhir.

“Sudah pasti jika kita dapat membariskan Liu Ying pasukan kita akan bertambah kuat tapi dia masih lagi di bawah proses pemulihan kecederaan,” kata bekas pemain beregu wanita negara itu.

Jelasnya, Pei Jing harus menggunakan peluang ini dengan sebaiknya kerana bukan saja mempunyai pengalaman tetapi pernah bergandingan bersama Peng Soon pada 2014.

“Dari segi tekanan, saya rasa kita akan melaluinya sama seperti sebelum ini. Semua pemain bermain untuk negara dan mahu mencatat kemenangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2017 @ 11:44 AM