ADIB (kiri) jaring dua gol ketika benam KDMM FC.

Kuala Lumpur: FELCRA FC terus mempamerkan aksi cemerlang apabila membenam cabaran Sabah KDMM FC 3-1 dalam aksi Kumpulan A Piala FAM di Stadium Arena Universiti Malaya (UM), Sabtu lalu.

FELCRA FC yang tidak konsisten pada pusingan pertama liga jelas berwajah baru di pusingan kedua apabila melakar dua kemenangan berturut-turut.

Pada pertemuan itu, skuad yang diberi nama jolokan The Rival akhirnya meledak jaringan menerusi rembatan pemain pertahanan Adib Zainudin yang bijak menyempurnakan peluang di depan gawang lawan susulan sepakan percuma rakan sepasukan.

Tiga minit berselang Adib sekali lagi menjadi hero apabila meledak gol kedua hasil bola muntah yang gagal ditangkap kemas penjaga gawang lawan sebelum pelawat merapatkan jaringan ketika aksi memasuki tempoh 30 minit terakhir separuh masa pertama untuk kedudukan 2-1.

FELCRA yang menguasai perlawanan meledak gol ketiga sebelum tamat separuh masa pertama menerusi Nashrul Shazrin yang bijak mengucar-kacirkan pertahanan lawan dalam kotak penalti.

Walaupun terpaksa bermain dengan 10 pemain susulan seorang pemain di buang padang, FELCRA FC berjaya mengekalkan keputusan 3-1 sehingga tamat perlawana untuk menduduki tempat ketiga dalam kumpulan A dengan 17 mata.

Mengulas mengenai kemenangan itu, Presiden FELCRA FC Datuk Ismail Kassim yang hadir menyaksikan perlawanan bangga dengan aksi pemain dan yakin boleh meraih salah satu tiket ke Liga Perdana musim depan.

“Pemain saya beraksi baik namun tersentak apabila seorang pemain kami di buang padang.

“Ini percubaan ketiga kami dalam Piala FAM dan seharusnya berjaya tahun ini. Saya akan cuba memastikan pasukan ini memberikan yang terbaik pada baki perlawanan dan seterusnya melangkah ke peringkat akhir Piala FAM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2017 @ 9:07 AM