JUPHA (kanan) sandaran raih pingat emas negara dalam acara omnium.
Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Atlet berbasikal negara Jupha Somnet kekal menjadi sandaran Malaysia meraih emas acara omnium walaupun berehat kira-kira setengah tahun kerana mengikut kursus menjadi anggota polis.

Pelumba kelahiran Perlis berkenaan baru saja menamatkan kursus bulan lalu dan kini berada di bawah kendalian jurulatih wanita negara Firdaus Daud untuk persiapan akhir menghadapi Sukan SEA, Ogos nanti.

“Dia kekal menjadi sasaran untuk meraih emas omnium selain turut tersenarai bersama skuad lebuh raya bagi acara lepas beramai-ramai dan kriterium.

“Tiada sebarang kebimbangan dengan prestasinya selepas menamatkan kursus enam bulan dengan lebih banyak kejohanan dirancang untuk dia kembali mencapai prestasi sebelum ini. Dia masih antara pelumba wanita terbaik negara ketika ini,” jelas Firdaus.

Acara trek termasuk omnium tidak dipertandingkan pada Sukan SEA 2015 Singapura namun Jupha tidak pulang dengan tangan kosong dua tahun lalu apabila meraih gangsa acara kriterium.

Atlet berusia 24 tahun itu sudah menyertai dua perlumbaan bersama skuad negara dan dijadualkan ke Beijing, Jumaat ini untuk bersaing kejohanan Piala Trek China bagi memantapkan prestasinya di peringkat tinggi.

“Ia akan disusuli dengan kem latihan di Melbourne yang bermula hujung bulan nanti sebelum pelumba trek negara pulang pada Julai untuk menghadapi Sukan SEA pada bulan berikutnya,” tambahnya.

Skuad berbasikal negara diletakkan sasaran bagi membantu kontinjen negara muncul juara keseluruhan dengan 13 emas untuk dicapai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2017 @ 9:09 AM