V SHEM (kanan) dan Wee Kiong tewas buat kali kedua dalam tempoh kurang seminggu kepada Kamura-Sonoda, semalam.
V SHEM (kanan) dan Wee Kiong tewas buat kali kedua dalam tempoh kurang seminggu kepada Kamura-Sonoda, semalam.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kegagalan skuad badminton negara pada saingan suku akhir Piala Sudirman di Pusat Sukan & Rekreasi Gold Coast, Australia membuktikan mereka belum cukup bagus untuk menjadi kuasa besar dunia.

Tegas Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, rombakan perlu dilakukan untuk kembali memartabatkan badminton negara.

“Saya kecewa dengan kegagalan ke separuh akhir. Kegagalan itu sudah membuktikan kita belum cukup bagus untuk menjadi kuasa besar dunia. Saya akan menyusun semula struktur latihan dan kejurulatihan kem badminton negara selepas ini,” katanya.

Kegagalan beregu lelaki negara sekali lagi menjadi faktor kekalahan Malaysia kepada Jepun di separuh akhir selepas tewas 2-3 ketika saingan peringkat kumpulan.

Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang juga pemenang perak Olimpik tewas buat kali kedua dalam tempoh kurang seminggu kepada beregu kelima dunia Takeshi Kamura-Keigo Sonoda 17-21, 21-16, 11-21.

Malaysia ketinggalan 0-2 apabila perseorangan wanita, Soniia Cheah tumpas kepada Nozomi Okuhara 11-21, 9-21. Datuk Lee Chong Wei cuba menghidupkan peluang apabila menyumbang mata dengan mudah menewaskan Kenta Nishimoto 21-15, 21-13.

Jepun mengesahkan kemenangan ke atas Malaysia apabila beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei kalah kepada pemenang pingat emas Olimpik Rio Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi 7-21, 14-21.

“Malaysia tewas kepada Jepun satu pasukan yang baik ketika ini.

“Kita perlu kembali dan berlatih lebih kuat untuk memperbaiki apa yang kurang. Pemain perlu berusaha memperbaiki kedudukan ranking dunia selepas ini,” kata Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen.

Kemenangan Jepun ke atas pasukan negara menyaksikan mereka akan bertemu China yang turun sebagai juara bertahan di separuh akhir selepas menewaskan India 3-0.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2017 @ 1:58 AM