RAFAEL Nadal
AFP

Paris: Juara sembilan kali Rafael Nadal dan juara bertahan Novak Djokovic melangkah ke suku akhir Terbuka Perancis buat kali ke-11 kelmarin tetapi juara bertahan kategori wanita Garbine Muguruza tersingkir pada pusingan keempat.

Nadal meneruskan aksi cemerlangnya di Roland Garros dengan mengetepikan pilihan ke-17 dari Sepanyol Roberto Bautista Agut 6-1, 6-2, 6-2 sekali gus menyamai catatan Roger Federer pada kejohanan itu.

Juara kejohanan utama sebanyak 14 kali itu hanya tercicir 20 permainan dalam empat perlawanan dalam usahanya untuk muncul pemain lelaki pertama memenangi satu acara Grand Slam sebanyak 10 kali.

“Saya gembira kerana dapat menang apatah lagi Roberto seorang pemain yang hebat. Adalah penting untuk saya berada di suku akhir sekali lagi,” kata Nadal yang mencecah usia 31 tahun, Sabtu lalu.

“Mungkin saya tidak beraksi sebaik hari sebelumnya tapi secara keseluruhan ia masih boleh dianggap baik.”

Pilihan keempat itu akan bertemu Pablo Carreno Busta yang layak ke suku akhir kejohanan utama buat kali pertama selepas mengetepikan pemain Kanada Milos Raonic.

Carreno Busta yang diletakkan sebagai pilihan ke-20, memerlukan tujuh mata penamat sebelum menang 4-6, 7-6 (7/2), 6-7 (6/8), 6-4, 8-6 ke atas pilihan kelima Raonic.

Djokovic turut mara ke suku akhir buat kali ke-11 selepas mengatasi pemain Sepanyol Albert Ramos-Vinolas 7-6 (7/5), 6-1, 6-3.

Pemain Serbia itu memerlukan 75 minit untuk menamatkan set pembukaan tetapi selepas itu dia mudah mengatasi pilihan ke-19 itu dan akan bertemu Dominic Thiem.

“Tidak ada perlawanan yang boleh dianggap mudah pada suku akhir Grand Slam. Kami pasti berdepan kesukaran,” kata Djokovic mengenai lawannya di suku akhir.

Thiem yang diletakkan sebagai pilihan keenam, mengatasi pemain Argentina Horacio Zeballos 6-1, 6-3, 6-1 untuk layak ke suku akhir buat kali kedua berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2017 @ 8:27 AM