AZIZULHASNI
Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal negara Azizulhasni Awang disahkan akan menyertai acara keirin dan pecut individu pada Sukan SEA, Ogos depan.

Menurut pengurus skuad negara Omar Saad, nama The Pocket Rocketman disenaraikan dalam dua acara utama bagi memastikan sasaran 13 emas sukan berbasikal tercapai.

“Keputusan Azizul bertanding dalam dua acara diputuskan ketua jurulatih negara John Beasley. Jadi kami menaruh harapan dua emas akan direalisasikan,” jelasnya selepas menyerahkan senarai nama atlet kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) semalam.

Azizul sebelum ini berharap hanya disenaraikan dalam acara keirin namun menjelaskan dia menyerahkan kepada Beasley untuk membuat keputusan muktamad.

Bagi acara trek di Velodrom Nasional, Nilai, atlet negara diletakkan sasaran untuk meraih 11 emas manakala dua emas menerusi acara lebuh raya.

Turut menjadi sandaran utama Fatehah Mustapa yang diharap mampu meraih semua empat emas dalam acara yang disertainya iaitu keirin, 500 meter ujian masa, individu dan pecut berpasukan.

“Kami berasakan dia tidak akan berdepan masalah untuk menang di peringkat Asia Tenggara walaupun akan menyertai empat acara. Kami harap dia berada pada tahap terbaik menjelang temasya nanti,” jelas Omar.

Cabaran acara lebuh raya pula digalas Harrif Saleh yang akan mengetuai rakannya mempertahankan emas acara lepas beramai-ramai dan kriterium.

“Nama Fauzan Ahmad Lutfi turut disenaraikan kembali dalam acara ujian masa berpasukan sesudah melihat prestasinya yang semakin meningkat selepas direhatkan akibat kecederaan sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2017 @ 10:31 AM