AFP

Nice, Perancis: Mario Balotelli (gambar) perlu membuat pilihan jika mahu meneruskan kariernya di peringkat antarabangsa, kata jurulatih Itali Giampiero Ventura.

Ventura tidak pernah menyenaraikan penyerang penuh kontroversi Nice itu sejak beliau mengambil alih pasukan kebangsaan Itali selepas Euro 2016.

Walaupun Azzurri akan menentang Uruguay di Nice yang mana Balotelli bermain sepenuh musim dan tidak terbabit dengan apa-apa insiden memalukan, penyerang itu tetap diketepikan.

“Ia bukan soal teknikal tapi perkara lain,” kata Ventura ketika ditanya mengapa beliau tidak memilih Balotelli.

“Saya tidak pernah melatihnya secara peribadi tapi beberapa pengendali pernah berdepan masalah dengannya.”

Ventura berkata, beliau tidak pernah bertelagah dengan Balotelli dan pernah menghabiskan masanya bersama pemain itu selepas dia menjaringkan gol ketika membantu kemenangan 3-1 Nice ke atas Paris Saint-Germain, April lalu.

“Saya jelas dengan keputusan saya. Kami pernah berbincang selama tiga atau empat jam dan kami sudah memikirkannya secara mendalam.

“Balotelli bukan hanya perlu kembali ke dalam pasukan tapi dia perlu memainkan peranan yang amat besar. Dia harus menjadi bukan saja pelengkap tapi dia perlu memastikan kehadirannya berbaloi.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2017 @ 8:34 AM