MUSLIFAH menunjukkan rumusan rekod pencapaiannya dalam kejohanan menembak sepanjang 2016 pada sidang media di Endah Parade, Sri Petaling, semalam.
MUSLIFAH menunjukkan rumusan rekod pencapaiannya dalam kejohanan menembak sepanjang 2016 pada sidang media di Endah Parade, Sri Petaling, semalam.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Dua penembak negara Nur Ayuni Farhana Abdul Halim dan Muslifah Zulkifli akan mengambil tindakan undang-undang terhadap tiga pihak jika tiada permohonan maaf dalam tempoh 24 jam kerana menuduh mereka sebagai tidak berdisiplin.

Sambil menganggap tuduhan itu mencemarkan maruah mereka sebagai atlet negara, kedua-duanya menuntut permohonan maaf daripada Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) dan pengurus pasukan menembak ke Sukan SEA Datuk Sabiamad Abdul Ahad.

Masalah disiplin dikatakan menjadi punca mereka digugurkan daripada skuad menembak kebangsaan yang akan beraksi di Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, Ogos ini.

Justeru Ayuni bersama Muslifah berkata, jika tiada permohonan maaf dibuat ketiga-tiga pihak terbabit dalam tempoh 24 jam, tindakan undang-undang akan diambil.

Ayuni berkata, perkara itu perlu dilakukan supaya menjadi pengajaran kepada atlet lain agar tidak dilayan seperti ‘sampah’ sebagai mana yang menimpa mereka.

“Saya cabar mereka jika benar kami bersalah kemukakan bukti. Jika tidak, kami akan membawa perkara ini ke muka pengadilan.

“Kami sudah sediakan segala bukti kukuh berhubung dakwaan mereka terhadap kami sebelum ini termasuk keputusan setiap kejohanan yang disertai.

“Malah segala komunikasi perbualan mereka membabitkan aplikasi whatapps turut disimpan,” kata Ayuni.

Ayuni menegaskan, tindakan ini perlu dilakukan kerana tuduhan dilemparkan kepadanya dan Muslifah sangat berat selain dikatakan ‘kuat berdrama’ oleh Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

“Cukuplah kami ditindas sejak tahun lalu. Pihak pengurusan harus sedar bahawa apa yang mereka lakukan sebelum ini bukan semuanya betul.

“Sudah terlalu lama kami bersabar dan terlalu banyak yang dikorbankan. Cukuplah atlet ditindas. Sepatutnya apabila sudah ada Program Podium ini yang dikatakan profesional, pihak pengurusan juga harus bersikap sebegitu, tapi apa yang kami dapat tidak ubah seperti sukan sekolah,” katanya.

Masalah membabitkan Ayuni yang juga pemenang emas acara 10m air rifle berpasangan wanita pada Sukan Komanwel 2010 dan Muslifah, pemenang gangsa acara 50m raifal prone berpasukan Sukan Asia 2014 Incheon, bermula sejak mereka digugurkan daripada Program Podium.

Perkara itu bukan sesuatu yang mengejutkan selepas timbul dakwaan wujudnya komplot untuk menjatuhkan mereka sejak Mac lalu.

Sementara itu Muslifah memaklumkan bahawa keputusan menyingkirkan mereka bukan dibuat pihak NSAM sebaliknya MSN.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 4:17 AM