AFP

Hartford, AS: Bintang sedang meningkat Sepanyol, Jon Rahm menyatakan kejayaan cemerlang Sergio Garcia menjuarai Masters AS menyebabkannya lebih berazam untuk merangkul gelaran kejuaraan utama sulung ketika dia bersiap sedia menghadapi Terbuka Amerika Syarikat, minggu ini.

Pemain berusia 22 tahun itu seorang daripada bakat menyerlah dalam sukan golf, sesudah melonjak ke tangga ke-10 dalam ranking dunia kurang setahun selepas beralih sebagai pemain profesional berikutan penamat tangga ke-23 sebagai pemain amatur pada Terbuka AS 2016.

Rahm, yang memulakan 2017 dengan kemenangan menakjubkan pada Terbuka Farmers Insurance di Torrey Pines, sejak itu sudah dua kali mencabar pemain nombor satu dunia Dustin Johnson memburu kejuaraan pada WGC Mexico dan kejohanan Match Play.

Rahm percaya lapangan mencabar di Erin Hills di Wisconsin jelas sesuai dengan corak permainannya minggu ini.

Dia mendedahkan kemenangan dramatik Garcia menerusi penentuan playoff ke atas Justin Rose di Augusta April lalu, kejuaraan utama sulungnya sesudah bertahun-tahun terlepas peluang, memberikannya motivasi untuk memasang impian besar.

“Ia hanya memberikan saya motivasi. Kami banyak kali bermain bersama tahun ini. Saya juga sudah bertemunya dalam permainan match play. Dia mengalahkan saya banyak kali,” kata Rahm mengenai Garcia.

“Saya menyaksikannya bermain. Saya juga melihat apa yang boleh dilakukannya. Saya juga tahu dengan keupayaan sendiri. Ia memberikan saya keyakinan bahawa saya boleh memenangi kejuaraan utama satu hari nanti.

“Seorang rakan karib memenangi kejohanan utama memberikan saya rangsangan. Seorang pemain Sepanyol menjuarai kejohnan utama pasti membuatkan saya teruja.”

Rahm berpeluang memahami lapangan di Erin Hills, yang menjadi tuan rumah Terbuka AS buat kali pertama, menerusi latihan sepusingan semalam.

Lapangan sejauh 7,741-ela, par-72 itu terletak di kawasan desa di luar Milwaukee dan muncul sebagai lapangan paling panjang dalam sejarah kejohanan utama golf. AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2017 @ 9:45 AM