PEI Jing (bawah), Kian Meng menang straight set.
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Hari cemerlang buat beregu campuran negara di Terbuka Indonesia apabila tiga pasangan berjaya memenangi aksi pusingan pertama di Pusat Konvensyen Jakarta semalam.

Pasangan nombor dua negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing tidak berdepan masalah mencatat kemenangan straight set selepas menundukkan Lee Yang-Hsu Ya Ching 21-14, 22-20.

Mereka yang akan beraksi di Kejohanan Dunia, Ogos ini bakal berdepan pasangan tuan rumah, Fachryza Abimanyu-Bunga Fitriani Romadhini di pusingan kedua hari ini.

“Pada set pertama kami bermain baik namun set kedua kami melakukan beberapa kesilapan mudah. Jadi saya berharap untuk perlawanan seterusnya mampu memperbaiki kelemahan kami,” kata Lai Pei Jing.

Jelasnya, walaupun agak terumbang-ambing di set kedua, secara keseluruhan dia dan Kian Meng gembira dengan persembahan masing-masing.

Sementara itu, Goh Soon Huat-Shevon Lai mengejutkan pilihan kelapan dari Thailand Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanchai apabila mencatat kemenangan 21-16, 15-21, 21-13 dan bakal berdepan pasangan Taiwan Lu Ching Yao-Chiang Kai Hsin hari ini.

Gandingan baru, Chan Peng Soon-Peck Yen Wei juga memberikan keceriaan buat peminat badminton negara apabila menumpaskan pasangan tuan rumah, Ronald Ronald-Melati Daeva Oktavianti 21-18, 21-18 namun bakal berdepan halangan sukar hari ini apabila menentang pilihan kedua dari China, Lu Kai-Huang Yaqiong.

Turut mara perseorangan wanita, Soniia Cheah yang menumpaskan Chiang Mei Hui dari Taiwan 21-18, 21-11 namun nasib berbeza buat Goh Jin Wei apabila tersingkir selepas kalah kepasdsa Lee Chia Hsin (Taiwan) 22-24, 19-21.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2017 @ 9:50 AM