SKUAD B-22 gigih berlatih di Pusat Latihan Bola Sepak Baining, Guangzhou. FOTO Facebook FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Aksi ketiga dan terakhir skuad bawah 22 tahun negara (B-22) menentang Guangzhou Evergrande dalam siri jelajah China di Pusat Latihan Bola Sepak Baining, Guangzhou petang ini menjadi medan terakhir bagi memikat hati pengendali Datuk Ong Kim Swee.

Kim Swee, 47, yang mengambil alih tugas membimbing pasukan B-22 itu dari Frank Bernhardt kerana dipecat April lalu, kini dalam fasa terakhir mempersiapkan pasukan beraksi di Kelayakan Kejohanan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Bangkok pertengahan bulan depan serta temasya Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini.

“Saya percaya aksi ketiga menentang Guangzhou Evergrande ini lebih mencabar dari dua aksi persahabatan sebelumnya dengan mereka pasti turunkan pemain utama Liga Super China.

“Ini peluang terakhir pemain untuk menunjukkan kemampuan masing-masing sebelum saya menggugurkan beberapa nama sebaik pulang ke Kuala Lumpur nanti.

“Apa yang saya dapati, ada beberapa pemain tidak menunjukkan aksi memberangsang terutama yang baru dipanggil menyertai pasukan.

“Malah, ada juga pemain yang beraksi sebagai tonggak utama dalam liga bersama kelab dan pasukan negeri tidak menunjukkan prestasi baik apabila bersaing di peringkat tertinggi.

“Terpulang kepada pemain esok (hari ini) untuk dinilai dan saya mungkin gugurkan beberapa pemain sebelum kami berhenti rehat Hari Raya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sepanjang siri jelajah ini, skuad kendalian Kim Swee masih gagal meraih sebarang kemenangan dalam dua aksi apabila tewas 0-1 kepada pasukan B-22 China sebelum terikat 2-2 dengan pasukan simpanan Guangzhou R&F FC, kelmarin.

“Dari awal kita hadir ke sini (China) untuk mendedahkan pemain dengan tahap tertinggi. Walaupun begitu, saya tetap mahukan pemain meraih kemenangan kerana ia boleh dicapai,” katanya.

Skuad negara dijadualkan pulang ke tanah air esok dengan latihan pusat diteruskan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya untuk aksi persahabatan menentang Melaka United, 20 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2017 @ 11:55 AM