London: Claude Puel (gambar) dipecat sebagai pengurus Southampton awal pagi semalam selepas hanya semusim mengendalikan pasukan itu, umum kelab Liga Perdana itu.

Puel, 55, mengemudi Southampton menduduki tangga kelapan carta liga dan layak ke final Piala Liga apabila mereka kecundang di tangan Manchester United.

“Southampton boleh mengesahkan kami sudah menamatkan kontrak Claude Puel dengan serta-merta,” menurut satu kenyataan kelab itu.

Puel, bekas jurulatih Monaco, Lille, Lyon dan Nice, diejek penyokongnya sendiri apabila pelawat Stoke menang 1-0 di St Mary’s pada hari terakhir musim Liga Perdana bulan lalu.

Pegawai di Southampton sudah mendedahkan rancangan untuk mengkaji semula masa depan pengendali dari Perancis itu dan Puel gagal mengekalkan jawatannya kerana kegagalan meraih kemenangan kelima berturut-turut di laman sendiri.

Puel menggantikan Ronald Koeman sebagai pengurus tahun lalu apabila jurulatih dari Belanda itu berpindah ke Everton dan menandatangani kontrak dua tahun. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2017 @ 6:28 AM