Annuar (kanan) beramah mesra bersama sebahagian pemain bola sepak import Kelantan selepas selesai berbuka puasa di rumahnya di Bukit Marak. FOTO FARIS ZAINULDIN
Azlan Hafeedz

PENASIHAT Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa menyifatkan tindakan Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) menolak pendaftaran import baru, Seydi L Imam sebagai usaha untuk 'membunuh' The Red Warriors (TRW).

Penolakan itu seolah-olah menimbulkan satu lagi permasalahan baru membabitkan kewangan berikutan KAFA turut menanggung kontrak pemain import kelahiran Brazil, Alessandro Celin.

KAFA sebelum ini sudah menandatangani kontrak Seydi selama semusim sebagai memenuhi syarat FMLLP bagi jendela perpindahan kedua pemain yang berakhir 12 Jun lalu.

Annuar berkata, penolakan FMLLP agak pelik kerana badan penganjur itu memberi alasan perpindahan Seydi tidak membawa impak positif terhadap kedudukan kewangan KAFA.

Katanya, alasan diberikan FMLLP itu tidak rasional kerana Seydi dibawa masuk untuk menggantikan Alessandro Celin yang sebelum ini bersetuju untuk ditamatkan kontraknya secara sukarela.

"KAFA sepatutnya tidak perlu membayar ganti rugi agak besar kepada Alessandro Celin tetapi FMLLP pula melihatnya daripada perspektif lain, seolah-olah mahu membunuh karier pasukan Kelantan.

"Seandainya kami tahu FMLLP tidak akan membenarkan pendaftaran Seydi, pasti pihak kami tidak akan melepaskan (Mohammed) Ghaddar menyertai Johor Darul Ta'azim (JDT), bulan lalu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Majlis Berbuka Puasa bersama pasukan Kelantan, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan di kediamannya di Bukit Marak, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Annuar selaku penaja pasukan TRW menerusi Konsortium Al Hamra menyampaikan tunggakan gaji bernilai RM1.5 juta kepada pemain dan pegawai.

Jumlah wang yang disampaikan itu sekaligus menyelesaikan tunggakan gaji bagi Mei dan Jun membabitkan TRW, The President Warriors (TPW) dan The Young Warriors (TYW).

Sebelum ini, FMLLP mengeluarkan kenyataan mengenai rayuan KAFA ditolak kerana pasukan itu masih gagal memenuhi kriteria diperlukan dalam proses pendaftaran Liga Malaysia 2017 sekali gus menyebabkan sekatan perpindahan tetap dikuatkuasakan.

Annuar berkata, beliau akan terus mendesak KAFA supaya adakan rundingan kali kedua dengan FMLLP bagi memastikan isu pendaftaran Seydi selesai.

"Saya mahu FMLLP menelitinya semula dan dilakukan menerusi rundingan baik, jika ada perkara tidak lengkap, segera maklumkan kepada KAFA supaya dapat dilengkapkan.

"Seandainya Kelantan jatuh ke Liga Perdana, musim depan, pasukan pasti bakal berdepan masalah besar kerana beraksi di liga berkenaan, penaja tidak mahu lagi menaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2017 @ 10:12 PM