MUKARAM (kiri) mengetuai pegawai dan pemain Tok Gajah mengangkat sumpah semalam.

Kuantan: Seramai 134 pemain dan pegawai Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bagi memastikan sukan itu bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa.

Program dianjurkan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu tidak hanya membabitkan pasukan utama Pahang dalam Liga Super tetapi turut disertai Piala Presiden (bawah 21 tahun) dan Piala Belia (bawah 19 tahun). Lafaz ikrar diketuai Anggota Majlis PBNP Datuk Mukaram Shah dengan disaksikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad serta Presiden PBNP Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Menurut beliau usaha berkenaan dilihat amat penting dalam meningkatkan mutu permainan bola sepak di negara ini sekali gus membebaskan pemain daripada gejala rasuah. “Segala-galanya bermula daripada individu itu sendiri yang mungkin mahu mencapai sesuatu di luar kemampuannya sehingga terjebak dengan gejala ini,” katanya ketika berucap pada majlis itu di sebuah hotel di sini.

Turut hadir Timbalan Presiden PBNP Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang Datuk Mohd Johari Hussain.

Mukaram berkata jika dibiarkan ia boleh menjejaskan reputasi dan mutu bola sepak di negara ini bukan saja peringkat tempatan tetapi juga antarabangsa dan pada masa sama bookie yang menjadi dalang perbuatan itu meraih keuntungan berlipat kali ganda.

Tengku Abdul Rahman berkata sehubungan itu pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM supaya pembangunan bola sepak yang dilaksana tidak terbantut dengan perkara negatif seperti itu. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2017 @ 3:55 AM