Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal negara Azizulhasni Awang akan kembali beraksi dalam saingan kompetitif buat kali pertama di International Track Series (ITS) Melbourne bulan depan selepas muncul juara dunia acara keirin, April lalu.

Malah The Pocket Rocketman berpeluang memakai jersi pelangi, selaku juara dunia buat kali pertama dalam acara keirin pada kejohanan diiktiraf sebagai perlumbaan kategori satu Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Menurut laporan portal Cycling Victoria, kejohanan itu akan menampilkan barisan pelumba terbaik Malaysia, New Zealand, Jepun, Hong Kong, China, Nigeria dan Ireland serta Australia.

“Sesuatu yang mengujakan kerana akhirnya saya berpeluang menyarung jersi pelangi di ITS Melbourne yang berlangsung di pusat latihan sendiri. Saya sering kali memakainya ketika latihan. Saya akan menikmati saat istimewa itu,” jelas pelumba kelahiran Terengganu itu.

Azizulhasni pada April lalu melakar sejarah muncul pelumba pertama Asia Tenggara menjuarai acara keirin di Kejohanan Dunia sekali gus menamatkan penantiannya selepas 10 tahun mencuba.

ITS Melbourne dijadualkan pada 25 dan 26 Julai di Velodrom Darebin International Sports Centre (DISC), venue yang menjadi lokasi latihan Azizulhasni dan skuad trek negara di Melbourne kendalian ketua jurulatih John Beasley.

“Saya sentiasa percaya akan bergelar juara suatu hari nanti dan tidak pernah berputus asa. Walaupun ada yang mengatakan saya tidak berpeluang selepas mengalami kecederaan (tertusuk serpihan kayu pada 2011). Kerja keras saya akhirnya berhasil,” tambahnya.

Selain Azizulhasni, barisan pelumba negara yang sedang giat menjalani latihan di Melbourne turut dijadualkan menyertai ITS Melbourne yang boleh menjadi medan terbaik untuk mereka menguji kemampuan bagi menghadapi Sukan SEA, Ogos nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2017 @ 4:29 AM