SHARIZ (kiri) pemer peningkatan pada sesi latihan.
Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Pelumba trek negara Shariz Efendi Shahrin mengakui tertekan apabila tampil buat kali pertama serta disandarkan harapan meraih emas di Sukan SEA, Ogos nanti.

Pelumba muda berusia 20 tahun dari Selangor itu dijadualkan bersaing dalam acara keirin bersama Azizulhasni Awang serta acara pecut berpasukan, akan bergandingan dengan Khairil Nizam Rasol dan Fadhil Mohd Zonis.

“Bagaimanapun, setakat ini persediaan berjalan lancar dan mengikut apa yang dirancang jurulatih. Saya yakin dengan peningkatan dipamerkan ketika latihan, kami akan mendapat keputusan diharapkan.

“Saya akan memberikan aksi terbaik dalam acara keririn. Satu penghormatan untuk beraksi bersama Azizulhasni, namun saya berharap mampu memberikan saingan kepadanya.

“Bagaimanapun, sasaran emas adalah bagi acara pecut berpasukan kerana kami dalam rangka persiapan untuk menghadapi kejohanan yang lebih besar seperti Sukan Asia, Komanwel, siri Piala Dunia dan Olimpik 2020. Kejayaan memenangi emas akan membuktikan persiapan kami berada di landasan tepat,” katanya.

Shariz antara pelumba yang berada di bawah naungan Yayasan Sime Darby (YSD) serta menjalani latihan di Melbourne bersama ketua jurulatih John Beasley sejak Mac lalu.

Skuad berbasikal negara terutama trek diharapkan mampu menuai sebanyak mungkin emas buat kontinjen negara yang meletakkan sasaran muncul juara keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2017 @ 11:15 AM