BADRUL(tiga dari kiri) tak patah semangat biarpun tidak disenaraikan dalam acara individu.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Tidak disenaraikan dalam acara individu pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur Ogos ini, langsung tidak merencatkan persiapan atlet pecut negara Badrul Hisyam Manap.

Tegas atlet berusia 20 tahun itu, dia tetap akan memberikan yang terbaik buat negara biar dalam apa acara sekalipun.

Sebagai bukti, pemenang pingat emas temasya Sukan Sekolah ASEAN 2015 itu bertekad membantu kuartet 4x100 meter negara pada Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) ke-22 di Bhubaneswar, India bermula esok.

Misi utama Badrul yang merekodkan catatan terbaik peribadi 10.34 saat dalam acara 100m itu adalah memperbaiki rekod kebangsaan dalam acara 4x100m.

Turun sebagai pelari ketiga Badrul akan bersama tiga pelari lain terdiri daripada Nixson Kennedy, Jonathan Nyepa dan Khairul Hafiz Jantan.

“Kuartet di India ini adalah kuartet baru dan kami belum cuba lagi kombinasi ini.

“Namun saya harap kami dapat melakukan yang terbaik dan memecahkan rekod kebangsaan 39.67s yang dilakukan pada Sukan SEA Singapura 2015.

“Nixson akan menggalas tugas sebagai pelari pertama diikuti Jonathan dan Khairul terakhir,” katanya.

ATF dijadual bermula esok hingga Ahad ini akan membabitkan 45 buah negara serta disertai lebih 650 atlet dalam 42 acara dipertandingkan.

Kejohanan itu antara medan menguji kemampuan atlet negara sebelum Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengumumkan sasaran pingat di Sukan SEA.

Mengulas mengenai kedudukannya selepas tidak disenaraikan dalam acara individu, Badrul berkata dia tidak kecewa biarpun turut diketepikan dalam acara 400m.

Katanya, dia tahu jurulatih dan pengurusan mempunyai perancangan terbaik untuk menentukan atlet negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2017 @ 9:17 AM