PEMAIN Negeri Sembilan, Jonathan Henri bersaing dengan pemain, T-Team pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.
Mohd Amin Jalil


Seremban: “Mempertahankan rekod bersih menjadi misi pasukan Negeri Sembilan malam esok (malam ini),” kata Naib Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Mohamad Haslah Mohd Amin, menjelang pertemuan dengan Kuala Lumpur dalam saingan Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini.

Justeru, beliau mahu pemain skuad Hoben Jang Hoben berjuang habis-habisan bagi mendapatkan keputusan positif.

Beliau berkata, walaupun beraksi di gelanggang lawan, namun misi mendapatkan tiga mata perlu dijadikan sasaran utama.

Pihaknya percaya barisan kejurulatihan pasukan diketuai Asri Ninggal sudah mengenal pasti pemain terbaik yang akan menggalas cabaran itu nanti.

“Saya percaya setiap pemain juga sudah diingatkan mengenai perlunya mereka kekalkan komitmen dan fokus sepanjang 90 minit permainan.

“Sebarang kesilapan terutama di depan pintu gol perlu dielakkan supaya ia tidak diambil kesempatan pemain lawan seperti berlaku ketika bertemu T-Team dalam saingan Piala Malaysia di Paroi, Jumaat lalu.

“Saya harap anak didik Asri lebih peka kerana pasukan perlu mendapatkan mata untuk memastikan kedudukan di puncak carta liga tidak tergugat,” katanya semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2017 @ 6:25 AM