BERNAMA

Kuala Lumpur: Pelumba BMX negara, Ahmad Syazrin Awang Ilah (gambar) yakin mampu menyumbang pingat pada temasya Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) walaupun tidak diletakkan sasaran oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Berdasarkan prestasi memberangsangkan apabila muncul juara kategori elit pada Kejohanan BMX Kebangsaan kelmarin, Syazrin menyasarkan pingat gangsa pada penampilan pertamanya di Sukan SEA kali ini.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu yakin dengan prestasi terkini, dia mampu mencabar pelumba dari Thailand, Filipina, Indonesia dan Singapura.

“Semua orang tahu pelumba Thailand, Filipina, Indonesia dan Singapura peserta pilihan untuk menang pingat. Bagaimanapun, saya sudah pantau prestasi semua pelumba Thailand, Filipina, Indonesia dan Singapura.

“Rasanya saya boleh naik podium sekurang-kurangnya menang pingat gangsa. Saya yakin saya boleh melakukan kejutan sekalipun BMX tidak disasarkan untuk menggondol sebarang pingat pada Sukan SEA,” katanya.

Pada kejohanan di Arena BMX Nasional Nilai kelmarin, Syazrin muncul juara selepas mencatat masa 31.818 saat pada laluan sepanjang 0.336 meter, manakala Elmi Jumari dari Selangor di tempat kedua dan M Ibnu Hasyimie Omar juga dari Terengganu di tempat ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2017 @ 5:34 AM