PEMAIN SK Bayan Lepas mengekalkan kejuaraan dua tahun berturut-turut.

Bayan Lepas: Sekolah Kebangsaan (SK) Bayan Lepas berjaya mengekalkan kejuaraan dua tahun berturut-turut selepas mengetepikan SK Seri Permai 1-0 pada aksi final kejohanan bola sepak B-12 Majlis Sukan Sekolah Pulau Pinang (MSSPP), baru-baru ini.

Kejohanan di padang SK Seri Permai itu menyaksikan kesebelasan pemain SK Bayan Lepas memulakan aksi dengan serangan bertali arus ke kubu lawan sebelum akhirnya menghasilkan gol tunggal pada babak kedua.

Kejayaan kali kedua itu membolehkan pemain SK Bayan Lepas menerima piala iringan dan pingat disampaikan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Barat Daya Mohd Abdul Ghani.

Kejuaraan itu membolehkan SK Bayan Lepas mewakili Zon Barat Daya ke peringkat negeri MSSPP tidak lama lagi.

Tempat ketiga disandang SK Mutiara Perdana selepas mengalahkan SK Bayan Batu menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 selepas keputusan terikat 0-0 pada aksi 30 minit perlawanan.

Penolong Kanan Ko-Kurikulum SK Bayan Lepas Tuan Mohd Nazri Hisham Long Ahmad berkata, pihaknya berbangga dengan kesungguhan dipamerkan pemainnya sebelum berjaya muncul juara.

“Saya bangga dengan pemain yang sebelum ini membuat persiapan rapi dan hasil usaha mereka berbaloi apabila muncul juara walaupun menerima saingan sengit pasukan lawan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 3:08 PM