HARIMAU Malaya ketandusan penyerang berkaliber.

Kuala Lumpur: Kehadiran pemain import di Liga Malaysia (Liga-M) masih relevan sekali gus bukan punca utama Harimau Malaya ketandusan penyerang berkaliber.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pihaknya tetap kekal percaya khidmat tonggak import dalam Liga-M perlu terus dikekalkan kerana bukan saja mampu meningkatkan mutu permainan pemain tempatan, tetapi juga nilai komersial liga itu sendiri.

“Jika anda tanya saya, pemain kita seharusnya dapat menjadi yang terbaik sehebat pemain import.

“Sebab jika mahu meraih kemenangan, kita akan melalui banyak pertandingan di luar dan dengan bermain bersama pemain asing dalam liga tempatan kita boleh biasakan diri bermain pada tahap lebih tinggi.

“Kalau kita asyik bermain dengan orang kita saja saya rasa tiada peningkatan. Bagi saya pandangan itu ada pro dan kontra.

“Untuk ketika ini, FAM masih berpendapat khidmat pemain import perlu terus digunakan.

“Malah, saya sendiri tak bersetuju dengan pandangan yang menyatakan kita ketandusan penyerang hanya kerana Liga-M menggunakan tonggak import,” kata Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) itu ketika ditemui pada majlis tajaan jenama kasut sukan terkemuka, Asics untuk skuad hoki negara semalam.

Subahan yang juga Pengerusi Teknikal dan Pembangunan FAM serta pengurus pasukan Harimau Malaya bagaimanapun tidak menolak kemungkinan membincangkan perkara itu pada mesyuarat akan datang.

Beliau berkata demikian mengulas pandangan ada pihak yang menggesa badan induk itu mengkaji semula penggunaan pemain import yang dikatakan punca ketandusan penyerang tempatan.

Isu itu mula timbul selepas ketua jurulatih Harimau Malaya Nelo Vingada mengakui berdasarkan pemerhatiannya di Liga-M sukar untuk beliau mencari penyerang tempatan terbaik untuk diserap ke dalam skuad kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2017 @ 9:15 AM