Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

Bangkok: Pemain tengah skuad bawah 22 tahun negara (B-22) Danial Amier Norhisham (gambar) tidak mahu mensia-siakan peluang beraksi di pentas tinggi di Asia selepas kariernya dalam bola sepak bagaikan malap tahun lalu.

Danial hampir menggantung but selepas skuad Frenz United dibubarkan dan tidak beraksi dalam sebarang perlawanan kompetitif selama lapan bulan sebelum menyertai skuad Piala Presiden FELDA United tahun ini.

Ternyata semangat tidak mahu mengalah membuahkan hasil apabila bakatnya memikat hati pengendali skuad B-22 Datuk Ong Kim Swee untuk mengharungi Kelayakan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok.

Danial, 20, menjadi tonggak ketika Malaysia menewaskan Indonesia 3-0 pada aksi pertama namun kecundang dengan jaringan sama di tangan Thailand kelmarin.

“Saya tidak terfikir untuk berada di sini sekarang selepas lapan bulan bergelut mencari pasukan apabila Frenz United dibubarkan. Tapi, sekarang saya diberikan peluang jadi akan gunakannya untuk membuktikan kemampuan,” katanya.

Arena Metro sebelum ini pernah melaporkan nasib malang pemain Frenz United yang terpaksa dilepaskan kerana akademi berkenaan menghadapi masalah kewangan.

Danial juga pernah ditawarkan beraksi dengan kelab Australia Dunbar Rovers FC, tetapi berdepan masalah kerana masalah visa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2017 @ 5:18 AM