Jin Wei akan perkuat skuad badminton Malaysia. FOTO HM/OSMAN ADNAN
Aida Adilah Mat


"Ya. Dia (Goh Jin Wei) akan beraksi di Sukan SEA 2017," kata Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen.

Keputusan ujian imbasan Pengimejan Resonan Magnetik (MRI) yang dilakukan terhadap pemain badminton perseorangan wanita negara, Jin wei kelmarin memberi maklum balas positif.

Ia jelas memberi perkhabaran gembira buat kontinjen badminton negara yang kini memasuki fasa terakhir persediaan untuk menghadapi temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) ketika pemain Thailand menyenaraikan barisan pemain terbaik mereka.

"Keputusan sudah diterima dan selepas menjalani dua ujian MRI, kecederaan Jin Wei tidak serius.

"Saya jangka dalam tempoh seminggu selepas menjalani proses pemulihan dia akan ok dan bersedia untuk kembali berlatih seperti biasa," kata Frost yang ditemui ketika sesi perjumpaan antara pemain dan Ketua Kontinjen Sukan SEA, Datuk Marina Chin di Akademi Badminton Malaysia, hari ini.

Ia sekali gus menamatkan spekulasi berhubung penyertaan bekas juara remaja dunia itu di temasya dwi tahunan yang akan bermula 19 Ogos ini.

Bagaimanapun Frost menegaskan, beliau tidak dapat memberi jaminan apa yang akan berlaku dalam tempoh tiga minggu akan datang justeru setiap pemain perlu lebih berhati-hati.

Jin Wei mengalami kecederaan di buku lali ketika beraksi pada pertemuan menentang Indonesia di separuh akhir acara berpasukan campuran Kejohanan Remaja Asia di Jakarta, Isnin lalu.

Sementara itu Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berharap Frost dan jurulatih yang lain tidak menjadikan episod yang terjadi kepada Jin Wei ini sebagai isu yang besar kerana bukti akan merujuk kepada fakta.

Justeru beliau berharap pasukan badminton akan bersedia untuk menghadapi Sukan SEA.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2017 @ 3:37 PM