ZIYAD (tengah) sandaran kontinjen paralimpik negara tuai emas.

Kuala Lumpur: Skuad paralimpik Malaysia meletakkan sasaran untuk meraih 50 emas di Sukan Para ASEAN 2017 Kuala Lumpur, September ini.

Justeru, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) sudah mengenal pasti kira-kira 80 atlet paralimpik bakal mewakili negara ke temasya yang akan berlangsung 17 hingga 23 September.

Ketua jurulatih paralimpik Malaysia R Jaganathan, berkata setakat ini beliau berpuas hati dengan tahap disiplin dan pretasi atlet paralimpik yang sedang berlatih di pusat latihan di seluruh negara ketika ini.

Beliau juga sentiasa berhubung dengan semua jurulatih di peringkat negeri bagi memantau prestasi dan kemajuan setiap atlet supaya mereka berada di tahap terbaik menjelang temasya Sukan Para ASEAN, tidak lama lagi.

“Ini perlu kerana kita mensasarkan untuk menang antara 45 hingga 50 emas nanti, berbanding hanya 28 di temasya sama di Singapura, dua tahun lalu.

“Kita juga berharap usaha ini dapat memecahkan dominasi atlet Thailand dan Indonesia yang selama ini menguasai Sukan Para ASEAN terutama dalam acara olahraga,” katanya kepada BH di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Jaganathan berkata pihaknya juga meletakkan harapan tinggi untuk melihat Mohd Ridzuan Mohd Puzi, Abdul Latif Romly dan Ziyad Zolkefli bukan hanya dapat meraih emas malah mengatasi rekod mereka sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2017 @ 3:33 AM