BOLT bercadang bersara selepas bertanding dalam acara 100m dan 4x100m di London.
Reuters

Kingston, Jamaica: Bekas pemegang rekod 100 meter dunia Donovan Bailey menyokong Usain Bolt untuk menama tkan karier penuh bergaya pada Kejohanan Dunia bulan depan di sebalik persiapan hambarnya menjelang pertembungan terbesar sukan olahraga itu.

Bolt melakukan catatan terbaiknya musim ini 9.95 saat hanya seminggu lalu di Monaco, masa yang diatasi oleh beberapa pelari pecut tahun ini.

Namun pelari Jamaica berusia 30 tahun itu masih menjadi pilihan utama untuk memenangi kejuaraan 100m dunia kali keempat dan mempunyai alasan tersendiri, menurut bekas juara dunia dan Olimpik, Bailey.

“Sesiapa yang bertaruh menentang Bolt pada kejohanan utama tidak bijak,” kata pelari Kanada kelahiran Jamaica itu semalam.

“Atlet itu perlu melalui perlumbaan tanpa kesilapan bagi menjadikan acara final 100m menarik,” katanya mengenai pencabar Bolt.

Bolt kini menduduki ranking ketujuh bersama musuh tradisi Justin Gatlin dalam catatan terbaik tahunan yang diketuai juara NCAA Amerika, Christian Coleman. Coleman mencatat 9.82s di Eugene, Oregon bulan lalu.

Rakan sepelatih Bolt dari Jamaica, Yohan Blake di tangga kedua senarai dengan 9.90s, di depan pelari Afrika Selatan, Akani Simbine (9.92s) dan dua pelari AS, Cameron Burrell dan Christopher Belcher.

Bekas pelari pecut Trinidad & Tobago, Ato Boldon, yang memenangi 100m kejohanan dunia pada 1997, berasakan hanya Blake mempunyai peluang untuk menafikan pemegang rekod dunia Bolt di London.

“Jika Blake sihat dan cergas, dia boleh menjadi ancaman utama buat Bolt. Saya tidak tahu sesiapa tahun ini yang menunjukkan mereka lebih baik berbanding Bolt dalam 50m terakhir,” kata Boldon.

Bolt, yang menang lapan pingat emas Olimpik dan 11 emas kejohanan dunia, bercadang untuk bersara selepas bertanding dalam acara 100m dan 4x100m di London.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 10:59 AM