Mourinho (kiri) akui pembelian Neymar beri kesan masa depan. FOTO AFP
AFP

PENGURUS Manchester United Jose Mourinho tidak percaya rekod perpindahan dunia sebanyak 222 juta euro (RM1.13 bilion) yang sanggup dibayar Paris St Germain (PSG) mendapatkan Neymar sebagai ‘mahal’.

Pengendali United itu bercakap selepas skuadnya menewaskan Sampdoria 2-1 di Dublin pada perlawanan pra musim menyatakan dia lebih bimbangkan bagaimana angka terbabit akan menjejaskan perpindahan pemain pada masa depan.

Mourinho mengeluarkan belanja sebanyak 105.2 juta euro (RM534 juta) pada musim panas lalu untuk menandatangani semula bekas pemain tengah Paul Pogba daripada Juventus.

Bagaimanapun kelab Perancis itu sedia menggandakan angka terbabit untuk menarik pemain Brazil itu berhijrah dari Barcelona.

“Sewaktu kami menandatangani Paul Pogba, saya kata dia tidak mahal,” kata Mourinho.

“Mahal apabila ia mencecah satu tahap tetapi tidak mempunyai kualiti tertentu. Saya tidak merasakan £200 juta (RM1.13 bilion) untuk Neymar adalah mahal.

“Mahal sekarang adalah apabila terdapat pemain berharga £100 juta (RM567 juta), pemain pada £50j (RM283 juta), pemain pada £60j (RM340 juta) dan itu sebenarnya yang menjadi masalah.

“Neymar salah seorang pemain terbaik di dunia jadi secara komersilnya ia sangat berpengaruh tetapi masalahnya bukan Neymar – masalah sekarang kesannya.”

Mourinho bercakap selepas jaringan lewat Juan Mata memberikan United kemenangan pada perlawanan pra musim terakhir mereka selepas jaringan Dennis Praet membatalkan gol separuh masa pertama Henrikh Mkhitaryan.

Kemenangan itu meletakkan United dalam perasaan yakin untuk berdepan Real Madrid pada perlawanan Piala Super UEFA di Macedonia, Selasa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 1:23 PM