Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Meskipun berstatus juara dunia sebanyak tiga kali, pesilat negara Mohd Al Jufferi Jamari (gambar kanan) mengaku turut berdebar untuk turun beraksi di halaman sendiri pada saingan Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) yang bakal berlangsung dua minggu lagi.

“Secara jujur, sejak beberapa minggu lalu saya berasa gementar.

“Perasaan itu semakin terasa sehingga saya terpaksa meminta bantuan daripada pegawai psikologi Institut Sukan Negara (ISN) dan sekarang ia bertambah baik.

“Pegawai itu menenangkan saya dengan berkata saya pasti akan mendapat sokongan penuh daripada penyokong tuan rumah dan ia mengembalikan keyakinan saya untuk meraih pingat emas,” katanya ketika ditemui selepas menyertai taklimat perhimpunan akhir kontinjen negara semalam.

Al Jufferi sedang berusaha mempertahankan pingat emas bagi kategori 65kg - 70kg yang dimenanginya sejak 2011 di Jakarta, Indonesia.

Bagaimanapun, dia berkata, misi utamanya adalah untuk membantu Malaysia muncul juara keseluruhan acara silat.

“Sasaran Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) adalah untuk memenangi sekurang-kurangnya lapan emas tetapi saya yakin kami mampu memenangi lebih daripada itu.

“Sudah tentu saya sendiri mahu silat menjadi juara keseluruhan di KL2017 kerana kami belum pernah meraih pencapaian itu,” katanya.

Sebanyak 20 pingat emas ditawarkan untuk acara silat yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula dari 24 hingga 29 Ogos.

“Kami mahu membalas dendam kerana hanya menduduki tangga ketiga kedudukan pingat apabila meraih tiga emas, dua perak dan tiga gangsa pada Sukan SEA Singapura dua tahun lalu.

“Saya yakin kami mempunyai potensi besar untuk muncul juara pada edisi kali ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2017 @ 2:20 AM