UniMAP raih 21 pingat emas. FOTO Ihsan UniMAP
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


UNIVERSITI Malaysia Perlis (UniMAP) dinobat juara Sukan Kakitangan Universiti Malaysia 2017 (SUKUM 2017) untuk 10 tahun berturut-turut dalam kejohanan yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim.

Kejohanan yang bermula 29 Julai hingga semalam menyaksikan juara bertahan sejak 2008 itu berjaya meraih 21 pingat emas, 12 perak dan tujuh gangsa mengatasi pencabar terdekat Universiti Sains Malaysia (USM) di tempat kedua dan tuan rumah, UPSI di tempat ketiga.

Ketua Kontinjen UniMAP, Prof Dr Mohd Fo'ad Sakdan berkata, pasukan olahraganya cemerlang apabila menyumbang 15 pingat emas sekali gus membolehkan UniMAP mengekalkan status 'kuasa besar' olahraga Universiti Awam (UA).

"Acara olahraga mempertaruhkan pingat emas tertinggi bagi kejohanan iaitu 44 pingat daripada 111 pingat yang ditawarkan.

"Bagi acara olahraga, UniMAP mengungguli acara pecut 100 dan 200 meter apabila meraih pingat emas bagi kategori lelaki dan wanita senior menerusi atlet Mohd Helmi Awang dan Nurhaslinda Md Hussin selain turut meraih emas bagi acara 100 meter wanita veteran menerusi Dr Shuhaida Yahud," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, Mohd Helmi turut membantu pasukan kuartet 4x100 meter dan 4x400 meter lelaki senior dengan menyumbangkan dua lagi pingat emas menerusi acara berkenaan.

"Mohd Helmi sekali lagi menjadi penyumbang emas UniMAP apabila berjaya mendominasi kuartet 4x100 meter dan 4x400 meter yang turut dibarisi tiga bekas atlet elit negara, Mohd Robani Hassan, Muhammad Idris Zakaria dan Mohamad Baihaqi Razlan.

"Turut menyumbang pingat emas buat kontinjen UniMAP ialah kuartet 4x100 meter wanita senior, atlet 800 dan 1,500 meter wanita senior, 400 meter lelaki dan wanita senior, lontar peluru lelaki senior, lempar cakera lelaki senior dan lompat jauh lelaki senior," katanya.

Menurut Mohd Fo'ad, enam lagi pingat emas disumbangkan menerusi acara petanque yang meraih dua pingat emas melalui acara individu dan trio; tenpin boling lelaki; bola tampar lelaki; futsal wanita dan acara berbasikal VIP yang masing-masing menyumbangkan satu pingat emas.

"Sistem pungutan pingat secara terbuka yang dilaksanakan oleh tuan rumah, UPSI pada tahun ini membantu UniMAP mencapai misi juara keseluruhan SUKUM ke-10, tahun ini.

"Sebelum ini penentuan juara adalah berdasarkan kejuaranaan mengikut acara yang dipertandingkan tetapi pada tahun ini, UPSI mencipta kelainan apabila menggunapakai kedudukan jumlah pingat sebagai penentuan kejuaraan," katanya.

SUKUM 2017 disertai oleh 21 pasukan yang terdiri daripada semua UA di Malaysia serta satu pasukan dari Kementerian Pendidikan Tinggi dengan 21 acara sukan dipertandingkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 5:41 PM