Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Jaguh keirin dunia Azizulhasni Awang (gambar) berharap pemilihannya sebagai antara tiga pembawa Jalur Gemilang Sukan SEA 2017 akan membakar semangat kontinjen Malaysia memburu juara keseluruhan pada edisi ke-29 itu.

Jelasnya, ia adalah satu penghormatan buat dirinya serta Al Jufferi Jamari dan Cheong Jun Hoong yang terpilih membawa bendera Malaysia pada majlis pembukaan 19 Ogos nanti.

Tambah The Pocket Rocketman, dia amat menghargai dan berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang memilih mereka bertiga.

“Sudah pasti ia satu penghargaan dan tanggungjawab besar kepada kami bertiga untuk kontinjen negara.

“Saya berharap kehadiran kami sebagai pembawa bendera akan menaikkan motivasi dan semangat juang rakan atlet untuk meraih sebanyak mungkin emas dalam memastikan Malaysia muncul juara keseluruhan,” tambahnya.

Kelmarin, Khairy mengumumkan tiga juara dunia berkenaan akan mengepalai perarakan kontinjen negara pada upacara pembukaan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Azizulhasni pada awalnya dijadual kembali ke Malaysia dari Melbourne pada 23 Ogos namun akan kembali lebih awal bagi menyertai upacara perasmian.

“Saya masih belum dapat tarikh tepat bila akan kembali ke Malaysia, namun mungkin satu atau dua hari sebelum upacara pembukaan,” jelasnya.

Azizulhasni yang menjalani latihan di Melbourne di bawah kendalian ketua jurulatih John Beasley dijadual menyertai acara keirin dan pecut individu di Velodrom Nasional Malaysia pada Sukan SEA nanti.

Dia dijangka mengetuai tuaian emas skuad berbasikal negara yang disasarkan meraih 13 kilauan pingat itu bagi memastikan Malaysia muncul juara keseluruhan nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2017 @ 11:06 AM