V SHEM (kanan) dan Wee Kiong sandaran acara beregu.
Helmi Talkah

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tanpa berselindung mengaku mahu gelaran juara dunia menjadi milik pemain negara buat kali pertama menjelang saingan Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland yang bermula 21 Ogos ini.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria bagaimanapun berkata, sandaran bagi merealisasikan impian itu tidak hanya terletak di atas bahu jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei sebaliknya beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut memikul beban sama.

“Sudah pasti Chong Wei diletakkan harapan tinggi untuk memenangi gelaran juara dunia tetapi kita juga memiliki V Shem-Wee Kiong dan Kian Meng-Pei Jing yang boleh diletakkan sandaran. Tidak kira siapapun, kita harap kita akan ada juara dunia tahun ini.

“Selepas acara berbasikal trek dan terjun, badminton juga mahukan gelaran juara dunia.

“Itu kita tidak boleh tipu. Sama-sama kita doakan kejayaan pemain negara di Glasgow nanti,” kata Norza ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CTC) BAM di Akademi Badminton Malaysia semalam.

Badminton masih gagal melahirkan juara dunia dan kejayaan jaguh basikal trek, Azizulhasni Awang serta atlet terjun, Cheong Jun Hoong meraih gelaran itu tahun ini pastinya memberi inspirasi kepada barisan pemain Malaysia untuk melakar pencapaian sama.

Norza berkata, persiapan pemain negara ke Glasgow berjalan dengan baik berdasarkan maklum balas yang diberikan jurulatih termasuk ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek membabitkan persiapan Chong Wei.

“Misbun dan Hendrawan akan menemani Chong Wei ke Glasgow. Berdasarkan maklum balas jurulatih, Chong Wei dalam keadaan prestasi terbaik dan sudah bersedia bagi menghadapi Kejohanan Dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Norza turut memaklumkan badan induk itu sedang merangka prosedur operasi standard (SOP) untuk mana-mana pemain yang mahu meninggalkan BAM selain SOP bagi memantau dan mencegah skandal mengatur perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 9:55 AM